Selepas berjaya selesaikan tunggakan gaji Melaka United, Justin Lim mahu jadi pemilik penuh kelab

Selepas berjaya selesaikan tunggakan gaji Melaka United, Justin Lim mahu jadi pemilik penuh kelab

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Justin Lim, mahu menjadi pemilik penuh dengan pegangan 100 peratus saham kelab itu selepas tampil menyelesaikan isu tunggakan gaji kelab dari selatan berkenaan.

Dia — yang menerusi KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) muncul pemilik baharu Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) pada April tahun lalu dengan menguasai 70 peratus pegangan saham — difahamkan menggunakan duit poket sendiri demi mengotakan janji dengan melunaskan bayaran gaji pemain dan jurulatih yang tertunggak selama tiga bulan.

“Saya masih dalam perbincangan dengan MUSA, belum ada kata putus lagi tetapi sudah pastinya struktur baru akan dimuktamadkan sebelum musim ini bermula.

“Memang ketika ini ekuiti pegangan saham di antara kami adalah 70-30 peratus, tapi saya tidak menunding jari dan apa yang penting adalah saya tampil menyelesaikan permasalahan ini.

“Selain itu, ada kenyataan yang dibuat di media sosial adalah tidak benar, apa pun saya tidak mahu mempertahankan perkara yang salah.

“Apa yang penting pemain sendiri yang mahu saya meneruskan khidmat kerana tanpa sokongan saya, saya fikir kita tidak akan tahu ke manakah hala tuju Melaka.

“Saya berbesar hati pemain berterima kasih dan mengiktiraf usaha kami,” katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Justin, bagaimanapun, keberatan untuk mendedahkan jumlah dana yang telah dikeluarkannya, namun gembira kerana isu tunggakan gaji kelab itu sudah terlerai.

CATEGORIES

COMMENTS