Hadi kata 99.9 peratus akar umbi Pas bersetuju Khairuddin dipecat

Hadi kata 99.9 peratus akar umbi Pas bersetuju Khairuddin dipecat

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata sebahagian besar daripada akar umbi parti itu berpuas hati isu dengan pengguguran Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

“Saya mendapat maklumat daripada akar umbi (bahawa) 99.9 peratus berpuas hati (setuju dengan pengguguran itu),” katanya yang dipetik portal Berita Harian selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di Marang hari ini.

Hadi juga dipetik sebagai berkata pengguguran Mohd Khairuddin berkaitan masalah disiplin, dan tidak perlu diperjelaskan kepada umum apabila ditanya jika ia berkaitan dengan Muafakat Nasional (MN).

“(Apa yang berlaku), itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja,” katanya sambil menambah tindakan diambil itu hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.

Mengenai pengganti pula, ahli Parlimen Marang itu berkata, ia akan dilihat pada bila-bila ada keperluan.

Hadi juga enggan mengulas secara terperinci berhubung masalah displin Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Selasa lalu, seorang lagi ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata penjelasan rasmi harus dibuat kepada awam berkenaan perkara itu.

Katanya, jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada awam, bukan hanya kepada ahli parti sahaja.

Hadi juga dipetik oleh portal itu sebagai berkata, iada perpecahan yang berlaku di dalam parti susulan pengguguran Khairuddin.

“Tiada perpecahan, kita telah mengalami lebih besar daripada itu yang tubuh PAN (Amanah) anjuran DAP dan PKR tubuh PAN dapat menarik sebahagian besar PAS.

“(Tetapi) ia tidak terjejas bahkan krisis Kelantan pada 1979, ramai-ramai letak jawatan PAS (tetapi PAS) tak terjejas bangkit semula dan tawan balik Kelantan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS