Dikecam hadir program Dap, Saarani akhirnya buka mulut jelaskan hal yang sebenar

Dikecam hadir program Dap, Saarani akhirnya buka mulut jelaskan hal yang sebenar

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan kehadirannya merasmikan Arena Sukan Aulong di sini atas jemputan ADUN Aulong, Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, kehadirannya tiada kaitan politik sebaliknya demi kepentingan dan kebaikan rakyat.

“Ini bukan soal politik. Jemputan untuk hadir ke sini untuk menunaikan impian kebajikan rakyat dan bukannya atas tajuk politik.

“Dia (Kor Ming) menjemput saya atas kedudukannya sebagai ADUN Aulong dan bukannya sebagai Pengerusi DAP dan saya hadir sebagai seorang Menteri Besar bukan atas nama parti.

“Jadi jangan salah faham atau salah membuat tafsiran tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arena Sukan Aulong dekat sini hari ini.

Turut hadir ADUN Selinsing, Mohamad Noor Dawoo, ADUN Kuala Sepetang, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar dan beberapa wakil dari MCA dan MIC.

Saarani mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How hari ini sebagai Menteri Besar, Saarani tidak sepatutnya berada satu pentas bersama pemimpin pembangkang, Kor Ming di majlis tersebut.

Dalam kenyataannya, Wai How berkata, perkara itu dilihat sebagai tidak menjaga perasaan dan hubungan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC.

Menurut Saarani, tidak sepatutnya kehadiran beliau pada majlsi itu disalah ertikan.

Beliau berkata, walaupun berbeza pendapat dan pandangan dalam politik,  tidak bermakna sebagai Menteri Besar beliau harus mengetepikan kepentingan dan kebajikan rakyat di kawasan pembangkang di negeri ini.

“Kita kena adil dalam menjaga kebajikan rakyat dan saya belajar daripada pengalaman yang lalu.

“Pentadbiran kerajaan-kerajaan yang terdahulu di negeri ini, apabila jadi pembangkang maka segala peruntukkan di kawasannya tidak dapat. Disebabkan itu rakyat yang berada di kawasan tersebut akan terpinggir seperti dianak tirikan.

“Kita tidak mahu perkara itu berlaku lagi di negeri ini. Siapa sahaja yang memegang kerajaan dan menjawat kedudukan Menteri Besar harus bersikap adil dan menjaga kebajikan rakyat di Perak,” katanya.

Saarani mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dalam setiap perkara namun beliau tetap akan meneruskan usaha menjaga kebajikan rakyat.

“Saya mungkin tak boleh puaskan hati semua orang bagaimanapun bagi saya, niat dan tujuan saya baik dan saya mahukan rakyat dinegeri ini merasai kenikmatan kebaikan ini.

“Wakil MCA dan MIC juga turut hadir dalam majlis ini, jadi tidak timbul soal tidak menjaga hati komponen BN,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS