Dari kereta sport kepada pesawat kurang 3 minit, kereta terbang AirCar bakal mula dijual dalam tempoh 1 tahun

Dari kereta sport kepada pesawat kurang 3 minit, kereta terbang AirCar bakal mula dijual dalam tempoh 1 tahun

MUNGKIN ada di antara kita mengimpikan untuk memiliki kereta terbang setiap kali terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Nampaknya impian itu boleh direalisasikan tidak lama lagi apabila ‘AirCar’, kereta terbang futuristik yang boleh berubah daripada kereta ‘sport’ kepada pesawat dalam masa kurang tiga minit!

Syarikat pengeluar berkata kenderaan terbang dwi-mod itu sesuai untuk perjalanan santai dan pemanduan peribadi pada masa hadapan.

Walaupun tiada butiran harga telah didedahkan setakat ini, AirCar akan mula dijual dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Menurut laporan Daily Mail, AirCar boleh mencapai ketinggian lebih daripada 8,000 kaki di udara dan kelajuan melebihi 160 kilometer sejam di jalan raya.

Ia dianugerahkan status baharunya selepas melengkapkan lebih 200 penerbangan dan pendaratan selama 70 jam menerusi ujian penerbangan yang ketat di bawah piawaian Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA).

Pemaju AirCar berkata ujian itu termasuk rangkaian penuh penerbangan dan manuver prestasi.

Tidak sekadar itu, ia turut menunjukkan kestabilan statik dan dinamik yang menakjubkan ketika dalam mod pesawat.

Prosedur berlepas dan mendarat AirCar telah dicapai walaupun tanpa keperluan juruterbang untuk mengawal penerbangan.

Rakaman menakjubkan AirCar menarik perhatian ramai pada tahun lalu ia dipandu di landasan sebelum terbang ke udara.

Ia kemudiannya boleh dilihat mendarat, melipat sayapnya dan dipandu di sepanjang lebuh raya di tengah-tengah ibu kota Slovakia.

Tidak hanya sebagai pemanduan sendiri, pemaju AirCar turut menambah kenderaan itu juga boleh digunakan sebagai teksi komersial.

AirCar dilengkapi dengan enjin BMW menggunakan bahan api petrol biasa.

Kereta canggih itu difahamkan boleh memuatkan dua orang pada satu masa.

CATEGORIES

COMMENTS