Isteri Bung Mokhtar layak dapat wang pengenalan RM2.8 juta – Saksi

Isteri Bung Mokhtar layak dapat wang pengenalan RM2.8 juta – Saksi

Seorang perunding unit amanah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pelakon Datin Seri Zizie Izette A. Samad layak mendapat wang pengenalan (introduction fee) RM2.8 juta selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, berkata, Zizie Izette yang juga kenalannya berhak mendapat wang tersebut selepas memperkenalkan beliau kepada suaminya Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan seorang lagi pegawai kanan agensi itu.

Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, pemberian wang pengenalan berfungsi sebagai strategi pemasaran bagi membolehkan beliau meneroka peluang pelaburan dalam syarikat-syarikat besar selain mengetengahkan pengalamannya selama 13 tahun dalam syarikat terkemuka yang mencatatkan jualan unit amanah tertinggi di negara ini.

Norhaili menjelaskan, sebanyak RM2.2 juta dibayar secara tunai di Public Bank Taman Melawati manakala selebihnya kira-kira RM800,000 dipecahkan dalam bentuk pelaburan yang dibayar semula ke dalam akaun unit amanah Public Mutual milik Zizie Izette.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mengapa hanya RM2.2 juta dibayar secara tunai kepada Zizie Izette sedangkan selebriti itu sepatutnya mendapat RM2.8 juta, saksi berkata, beliau dimaklumkan bahawa Public Bank ketika itu tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi.

Dalam keterangannya, Norhaili turut berkata, beliau dan seorang lagi ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid menerima komisen RM2.9 juta setiap seorang selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah.

Jelasnya, beliau dan Madhi kemudian berbincang untuk memberikan wang pengenalan kepada Zizie Izette kerana memperkenalkan mereka kepada suaminya.

Norhaili menyatakan, wang RM2.8 juta itu diputuskan selepas mengambil kira faktor-faktor termasuk pengurusan pelaburan Felca dan kos jangka panjang kerana pelaburan itu mengambil masa tujuh tahun untuk matang.

Saksi pendakwaan turut berkata, wang pengenalan sebanyak itu layak diberikan kepada Zizie Izette selepas mengetepikan perbelanjaan kos pengendalian, cukai serta faedah pembawa secara kekal yang diterimanya selagi pelaburan Felcra di bawah jagaan beliau.

Ketika ditanya oleh pihak pendakwaan mengapa jumlah yang begitu besar diberikan kepada isteri Bung Moktar, Norhaili berkata, beliau tidak melihat nilai itu sesuatu yang besar selepas mengambil kira pengurusan pelaburan Felcra untuk jangka panjang.

Dalam keterangannya, Norhaili turut menyatakan, tiada elemen rasuah dan permintaan rasuah daripada Ahli Parlimen Kinabatangan itu mahupun isterinya manakala wang RM2.8 juta yang diberikan kepada Zizie Izette bukan rasuah, sebaliknya adalah wang pengenalan.

Pada peringkat itu, Chin How memohon penangguhan kes atas alasan pihak pendakwaan perlu mendapat arahan selanjutnya berhubung keterangan yang dikemukakan oleh saksi berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya perlu mendapat arahan sama ada perlu mengemukakan permohonan mencabar kebolehpercayaan saksi di bawah Seksyen 155 Akta Keterangan 1950 atau permohonan mengikut Seksyen 154 untuk menyoal balas saksi yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness).

Hakim Rozina Ayob kemudian menangguhkan perbicaraan hingga 14 Februari ini bagi mengetahui perkembangan lanjut daripada pihak pendakwaan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

CATEGORIES

COMMENTS