Istanbul diselimuti salji tebal, penerbangan digantung, kenderaan dilarang masuk di kawasan bandar

Istanbul diselimuti salji tebal, penerbangan digantung, kenderaan dilarang masuk di kawasan bandar

Penerbangan di Lapangan Terbang Istanbul digantung buat hari kedua manakala kenderaan privet dilarang daripada memasuki jalan-jalan raya di kawasan bandar pada Selasa (25 Jan).

Ini sedang salji tebal melumpuhkan lalu lintas dan menyebabkan ramai orang terkandas di bandar terbesar Turki itu dan merata negara tersebut.

Salji mula turun pada lewat minggu lalu dengan keadaan bertambah teruk sejak beberapa hari lalu di bandar itu yang mempunyai 16 juta penduduk itu. Rakaman video dari lapangan terbang, yang merupakan salah satu terbesar di dunia, menunjukkan landasan pesawat diselimuti salji tebal dengan beberapa pesawat dan kenderaan hampir tidak kelihatan.

Gabenor Istanbul Ali Yerlikaya mengambil langkah yang luar biasa dengan melarang kereta privet masuk ke bandar itu sehingga pukul 2.00 petang sedang pasukan kecemasan membersihkan jalan-jalan raya dan ramai pegawai awam diberi cuti pentadbiran untuk mengurangkan jumlah individu di luar.

Satu video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan seorang lelaki bermain ski di jalan raya pada lewat Isnin, dengan beberapa individu melambaikan tangan sedang dia meluncur lalu.

Di bahagian selatan Turki pula, pantai di bandar peranginan Antalya di selaputi salji buat pertama kalinya dalam 29 tahun.

Lapangan Terbang Istanbul menyatakan di laman webnya bahawa operasi penerbangan digantung sehingga pukul 10.00 pagi waktu tempatan (pukul 2.00 petang, waktu Singapura) pada Selasa kerana keadaan cuaca buruk. Syarikat penerbangan Turkish Airlines menyatakan pada Isnin, ia membatalkan semua penerbangan dari lapangan terbang itu.

Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu berkata 55,000 tan garam ditabur pada permukaan jalan raya dan meminta bantuan penduduk Turki untuk membersihkan salji di depan rumah dan kedai masing-masing bagi membantu pasukan kecemasan.

Di merata negara itu, sekitar 4,600 individu terkandas di jalan-jalan raya dan beribu-ribu lagi orang diberikan tempat tinggal sementara, menurut Penguasa Bencana dan Kecemasan.

CATEGORIES

COMMENTS