Pemilihan PKR: Farhash sahkan akan lawan Amirudin di cabang Gombak

Pemilihan PKR: Farhash sahkan akan lawan Amirudin di cabang Gombak

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan bahawa dirinya akan bertanding di bahagian Gombak, menentang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi pemilihan parti yang bakal berlangsung pada April ini.

Menyifatkan langkah tersebut sebagai satu proses demokrasi, Farhash berkata tindakannya itu adalah selaras dengan peraturan dan peruntukan yang termaktub dalam parti.

“Saya menawarkan diri untuk bertanding di cabang Gombak tu bukanlah untuk melawan MB.

Ini adalah proses pemilihan parti, proses demokrasi.

“Jadi, kita tak tahu berapa penjuru lagi. Kadang-kadang dua penjuru, tiga penjuru, empat penjuru, lima penjuru. Tapi saya memang sahkan yang saya menawarkan diri,” katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini.

Apabila ditanya jika keputusannya untuk bertanding itu akan mencetuskan konflik atau rasa tidak puas hati dalam kalangan parti, bekas setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim itu menolak tanggapan tersebut.

“Tak. Ini bukan pergaduhan. Ini pemilihan. Cabang ni bukan hak siapa-siapa secara mutlak walaupun orang itu MB (menteri besar).

“Kita (parti) memberi tawaran kepada ahli-ahli dan mereka memilih. Kita bukan nak bergaduh ke, berlawan, baling kerusi… Tak ada.

“Ini pemilihan. Pemilihan ni macam pilihan rayalah. Itu saja. Semua jawatan dipertandingkan. Ia bukan saja cabang (tapi) semua,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini Amirudin dilihat sebagai seorang daripada penyokong tegar bekas timbalan presiden Azmin Ali – yang juga adalah antara individu yang menyebabkan kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.

Bukan menjadi rahsia lagi, bahawa kedua-dua Azmin dan Anwar adalah seteru politik.

Kata Farhash, tindakannya itu merupakan sebahagian daripada adat berpolitik dan tidak mempunyai niat untuk menimbulkan perpecahan.

“Saya pun asalnya memang cabang Selangor berbelas tahun, cuma dipinjamkan di Perak saja untuk satu tahun dan saya sekarang balik semula ke Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Farhash berkata dia telah melepaskan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar sejak Disember lalu supaya dapat menumpukan terhadap pemilihan dan persiapan pilihan raya.

“Saya tak boleh beri komitmen full-time lagi (sebagai setiausaha politik).

“Jadi saya minta kebenaran kepada presiden untuk saya melepaskan jawatan tu,” katanya.

Pemilihan PKR untuk pemegang jawatan bagi sesi 2022 hingga 2025 akan berlangsung pada 22 hingga 29 April manakala Kongres Nasional dari 10 hingga 12 Jun ini.

CATEGORIES

COMMENTS