Program jelajah Pakatan Harapan mantapkan PH Perak

Program jelajah Pakatan Harapan mantapkan PH Perak

Pakatan Harapan (PH) Perak memulakan program Jelajah Pakatan Harapan Perak di parlimen Bukit Gantang sebagai usaha memantapkan Pakatan Harapan dan memastikan gabungan itu terus relevan untuk membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman BN dan PN.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa menegaskan, program yang dimulakan di Parlimen Bukit Gantang melibatkan Sekretariat PH Parlimen bagi enam kawasan Parlimen iaitu Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Taiping, Bukit Gantang dan Bruas.

“Sebelum program ini diadakan pada hari ini, Sekretariat PH Parlimen bagi enam kawasan Parlimen ini telah melakukan perlantikan dan penyusunan semula organisasi di peringkat parlimen masing-masing.

“Minggu hadapan program jelajah ini akan bergerak ke zon yang lain melibatkan beberapa kawasan parlimen lagi dan berakhir setelah lima zon dijelajahi” katanya semasa ditemui selepas Mesyuarat bersama Sekretariat PH Parlimen di Simpang, Taiping.

Turut hadir Teh Kok Lim , Ahli Parlimen Taiping, Dr Mohd Fadhil Nuruddin Adun Kamunting serta Sekretariat Pakatan Harapan Perak Zon 1.

Menurut Dr Mujahid , program bermula dengan mesyuarat PH Perak bersama Sekretariat PH Parlimen bagi enam kawasan Parlimen yang berakhir dengan penyampaian watikah perlantikan Sekretariat PH Parlimen

“Selepas mesyuarat , program diteruskan dengan aktiviti penyampaian sumbangan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam kawasan parlimen Bukit Gantang.

“Jelajah diteruskan dengan program mesra rakyat dan berakhir dengan Ceramah Jelajah Pakatan Harapan Perak” katanya.

Dr Mujahid berkata, beliau bersama pemimpin PH Parlimen Bukit Gantang turun menyantuni rakyat bertemu peniaga dan pembeli Pasar Malam Taman Berkat, Bukit Gantang.

“Kami sempat berbual serta bertanyakan khabar dan kami menerima banyak aduan dari penjual dan pembeli berkaitan harga barang yang tidak menentu sekarang ini.

“Program mesra rakyat seperti ini perlu diperbanyakkan dalam program jelajah di zon yang seterusnya” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS