Lelaki tersenyum selepas potong kepala isteri

Lelaki tersenyum selepas potong kepala isteri

Seorang lelaki Iran sempat tersenyum sambil membawa kepala isteri di jalanan ketika perbuatannya itu dirakam kamera di sebuah bandar di Ahvaz.

Ketika melalui kawasan awam itu, lelaki terbabit juga membawa bersama senjata tajam yang digunakan untuk memenggal kepala isterinya.

Dia menganggap perbuatannya yang dilakukan bersama adiknya itu sebagai ‘pembunuhan terhormat’.

Mangsa, Mona Heydari, 17, berkahwin dengan sepupunya, Sajjad Heydari, ketika dia hanya berusia 12 tahun.

Ketika pembunuhan, pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

Mangsa dipercayai menderita akibat penderaan dan setiap kali dia mendesak untuk bercerai, keluarganya memaksa untuk dia terus tinggal bersama suami demi anak.

Difahamkan, mangsa sebelum ini melarikan diri ke Turki sebelum dia berjaya dikesan.

Bapa dan suaminya kemudian membawa Mona pulang ke Iran.

Mona yang baru tiba beberapa hari di Iran dipercayai diikat oleh suami dan adik lelaki itu sebelum kepalanya dipenggal, menurut media tempatan.

Adik lelaki itu berkata, mayat Mona kemudian dibalut dengan selimut sebelum dibuang di satu kawasan.

Sajjad pula membawa kepala isterinya di jalanan pada 5 Februari.

Dalam rakaman video itu, suspek kelihatan masih mampu tersenyum sambil membawa kepala isterinya.

Dia dan adiknya kemudian ditahan kerana membunuh namun masih tidak dipastikan hukuman yang akan diterima mereka.

Ketua Pasukan Keselamatan Negeri (SSF) berkata, motif pembunuhan disebabkan masalah keluarga.

Jawatankuasa Wanita Majlis Penentangan Kebangsaan Iran (NCRI) berkata, tiada minggu tanpa berita utama mengenai kes ‘pembunuhan terhormat’.

Kegagalan kerajaan untuk mengklasifikasikan pembunuhan ini sebagai jenayah membawa kepada peningkatan kes pembunuhan seperti itu.

Dalam laporan pada 2019, akhbar tempatan Sharq melaporkan antara 375 hingga 450 ‘pembunuhan terhormat’ ini berlaku di Iran.

Pembunuhan itu lebih kerap berlaku di Khuzestan, Kurdistan, Ilam, Sistan dan Baluchestan.

CATEGORIES

COMMENTS