Taqiuddin tempelak ‘golongan kayangan’ terus langgar SOP tanpa rasa bersalah

Taqiuddin tempelak ‘golongan kayangan’ terus langgar SOP tanpa rasa bersalah

Isu prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang sering kali diperingatkan kepada rakyat tidak lagi menjadi sesuatu yang sensitif pada hari ini.

Ia selepas begitu ramai ‘golongan kayangan’ dan mereka yang bergelar menteri, timbalan menteri, menteri besar melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), netizen juga lelah apabila satu demi satu pelanggaran dibuat tanpa ada rasa bersalah.

Terbaru, acara himpunan sebuah parti politik yang dihadiri Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein yang juga merupakan pengerusi menteri kuartet Covid-19 yang mana bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal keselamatan dalam negara berkaitan Covid-19.

Dia  bersama Presiden MIC S Vigneswaran, dan Pengerusi BN Johor, merangkap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dirakam bersesak-sesak dalam majlis tersebut.

Mereka dilihat tiada reaksi rasa bersalah melanggar SOP dan tidak ada langsung tindakan yang lebih bertanggungjawab dalam majlis tersebut untuk sekurang-kurangnya mengelakkan diri daripada berada dalam situasi terbabit.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin dalam ciapan di Twitter menyatakan mereka yang terlibat akan dikenakan kompaun atas pelanggaran yang dibuat di bawah Akta 342.

Menjawab hal tersebut, Hishammuddin kemudiannya mengatakan dia sedia diambil tindakan kerana tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

Ini semua adalah sikap yang sangat jelek dan memalukan. Hishammuddin bukan orang biasa. Dia adalah orang yang terlibat dan bertanggungjawab dalam menetapkan SOP. Apakah dia tidak meletakkan ketetapan dan SOP yang sewajarnya sebelum hadir ke majlis tersebut meski pun alasannya hadir sebagai tetamu?

Negara kita ini semuanya sudah menjadi kelam kelibut. Perdana menteri tak tahu gunakan kuasa untuk mengurus bencana.

Ketua yang diamanah untuk mencegah rasuah didakwa terlibat dalam pemilikan saham yang meragukan. Peguam negara pula condong kepada eksekutif dalam menentukan hal-hal berkaitan perundangan. Dan kini menteri yang sepatutnya menjaga keselamatan dengan penetapan SOP dan menguruskan masalah Covid-19, bertindak sebaliknya dan dengan mudah menjawab sedia membayar kompaun.

Apakah negara ini sudah hilang nilai dalam menterjemah rukun negara yang kita pegang selama ini?

Kita sebut dengan contoh menteri-menteri di negara luar yang rela meletakkan jawatan kerana tidak hormat dengan peraturan sepanjang Covid-19 melanda negara mereka.

Kita? Dalam suasana bilangan kes mencanak naik, pemimpin negara langsung tidak ada sensitiviti dengan apa yang berlaku.

Sebab itu kalau kata mereka, PRN Johor untuk membela rakyat, itu semua dusta yang besar. Mereka buat untuk kuasa dan tak hiraukan langsung apa yang ditanggung rakyat ketika ini.

Salah satu buktinya? Mereka paksa rakyat jaga SOP untuk elak jangkitan, tetapi merekalah yang terlibat dalam aktiviti yang merisikokan rakyat terkena jangkitan. Ini memalukan.

MOHAMMAD TAQIUDDIN CHEMAN

CATEGORIES

COMMENTS