Ibu terkejut anak tiba-tiba meraung sakit, rupanya dah lama sengkenit tumpang celah telinga

Ibu terkejut anak tiba-tiba meraung sakit, rupanya dah lama sengkenit tumpang celah telinga

BENGKAK dan kemerahan.

Itulah yang berlaku pada telinga seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang menjadi tempat tinggal sementara dua ekor sengkenit.

Melihat kanak-kanak perempuan ini meraung kesakitan menerusi video yang dikongsi ibunya, rata-rata netizen menyatakan simpati dan turut bimbang dengan apa yang berlaku.

Bercakap kepada mStar, ibu kanak-kanak malang itu, Zuraina Mohd Zukri, 42, berkata, anaknya, Siti Hajar Husna Abdul Rashid yang dipanggil Una, mengadu sakit pada bahagian telinga pada waktu malam Sabtu lalu.

“Kalau tengok saiz sengkenit tu dah besar sama dengan butir nasi. Maksudnya dah lama haiwan tu tumpang telinga dia.

“Malam tu dia mengadu dekat saya sakit telinga. Saya pun cuba tengok dekat celahan telinga sebab nampak macam bengkak dan merah.

“Rupanya bila saya check, dua-dua belah telinga dia ada benda warna hitam melekat. Saya dah risau sebab sengkenit tu ada di celah-celah… agak susah nak cabut keluar,” jelas wanita yang mesra disapa Kak Na ini.

Menetap di Setiu, Terengganu, ibu kepada lima cahaya mata ini kemudiannya menyapu sejenis minyak berasaskan daun bidara dengan harapan sengkenit itu mudah dikeluarkan.

“Saya pun terkejut masa tengok sebab kutu tu dah besar, siap periksa dalam telinga juga sebab takut ada, sebab ni bukan pertama kali dia kena. Sebelum ni dah kena gigit macam ni, tapi Alhamdullilah dalam telinga tak ada.

“Saya sapu minyak tu dalam 20 minit sebelum cuba keluarkannya. Kalau terus tarik macam tu je nanti kesian dekat anak sakit,” katanya.

Wanita ini juga mengesyaki anaknya dihinggapi sengkenit gara-gara bermain dengan kucing peliharaan jiran mereka.

Biasanya orang lain akan demam kalau telinga kiri kanan dah kena sengkenit.

ZURAINA

Bercerita lanjut tentang cara haiwan halus itu dikeluarkan, Kak Na berkata saiz sengkenit itu yang agak besar seperti sebutir nasi membolehkan dia melihat seterusnya memicit kutu tersebut menggunakan penyepit sehingga mati.

Jelasnya, anaknya tidak menangis ketika sengkenit pertama pada telinga kiri dikeluarkan, tetapi meraung kesakitan apabila haiwan kedua pada telinga kanan cuba dibunuh.

Derita menahan rasa gatal yang teramat terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak yang meraung ketika cuba untuk membunuhnya membuatkan hati seorang ibu menjadi luluh melihat keadaan ini.

“Anak memang suka sangat main kucing jadi saya agak dia dapat dari kucing jiran.

“Saya juga agak sengkenit dah ada di telinganya selama dua hingga tiga hari. Awal-awal tak akan rasa sakit dan tak perasan sebab saiznya memang sangat kecil, tapi bila dah besar baru akan rasa sakit tu,” katanya.

Menurut wanita yang berniaga secara online itu, ini merupakan kali ketiga anaknya berdepan pengalaman pahit digigit sengkenit.

Bagi kanak-kanak yang tinggal di kampung, terkena gigitan sengkenit adalah perkara biasa kerana kawasan ini memenuhi tiga faktor utama untuk sengkenit membiak seperti lembab, suhu sederhana dan banyak binatang (perumah) untuk ditumpangi bagi tujuan menghisap darah.

Kak Na juga terkejut apabila video yang dikongsinya meraih lebih 8.5 juta tontonan dalam masa tidak sampai satu hari dimuat naik di TikTok selain turut menerima komen netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib anaknya.

Malah, rakaman tersebut juga menunjukkan anaknya sudah serik untuk bermain dengan kucing selepas ini.

“Saya dah pesan banyak kali jangan main kucing tapi dia nak juga main. Anak saya ni memang suka kucing.

“Ramai yang bagi tip dekat ruangan komen. Saya tak sempat nak baca semua. Tapi Alhamdulillah anak saya OK je.

“Biasanya orang lain akan demam kalau telinga kiri kanan dah kena sengkenit. Nasib baik anak saya tak demam pun,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS