Saya alu-alukan Rafizi jika mahu kembali aktif, tapi tidak bermakna saya suka dia – Farhash

Saya alu-alukan Rafizi jika mahu kembali aktif, tapi tidak bermakna saya suka dia – Farhash

Kalangan pemimpin PKR berbeza pendirian mengenai gesaan warganet dan penyokong Rafizi Ramli yang mahu beliau kembali aktif dalam politik menjelang pemilihan parti itu April ini.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, ketika ditanya berkaitan sikapnya terhadap Rafizi menganggap ia amat sensitif untuk dijawab.

“Saya mengalu-alukan (jika Rafizi mahu kembali aktif), tidak bermakna saya suka dia,” Farhash yang juga bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim memberitahu FMT.

Sebelum ini penyokong Rafizi dilaporkan mahu beliau kembali aktif di arena politik, terutama ketika PKR bersiap untuk menghadapi pilihan raya umum ke 15 (PRU15).

Beliau dilihat antara pemimpin yang berkemungkinan tampil bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menggantikan Azmin Ali yang dipecat susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Farhash yang berhasrat mencabar Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, pada pemilihan PKR berkata, beliau tidak terlalu memikirkan tentang Rafizi.

“Kembalilah jika betul mahu kembali,” katanya.

Laporan media sebelum ini memetik Rafizi berkata, bahawa beliau terpaksa mengambil kira banyak perkara dalam memutuskan sama ada akan memainkan peranan lebih besar dalam politik.

“Saya perlu bersikap realistik, iaitu saya sangat radikal dalam pemikiran dan kebanyakan pemimpin PKR sekarang serta sekutunya tidak akan selesa dengan pendekatan serta idea saya,” Malaysiakini memetiknya sebagai berkata.

Pada Disember tahun lalu, Rafizi dilaporkan menulis di Facebook menegur Presiden PKR Anwar Ibrahim supaya berhati-hati memilih orang kelilingnya.

Zainol Abidin Mohamed.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Zainol Abidin Mohamed mempersoalkan keikhlasan Rafizi kepada perjuangan PKR.

Jelasnya, Rafizi “keluar gelanggang” pada saat parti memerlukan khidmatnya ketika kerajaan PH dibentuk.

“Sekiranya ada kelemahan dalam kerajaan PH ketika itu, sepatutnya sebagai pemimpin utama dia kena betulkan tapi dia keluar dari gelanggang perjuangan,” katanya kepada FMT.

“Adanya dia tidak menambah, perginya tidak mengurang,” tambahnya.

PKR dilihat memerlukan nafas baharu susulan Langkah Sheraton dan kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini yang menyaksikan ia tewas di semua kerusi yang ditandingi.

Najwan Halimi.

Hubungan PKR dengan sekutunya, Amanah dan DAP juga dilihat tidak sehaluan dalam beberapa perkara. Pada PRN Johor yang bakal diadakan bulan depan, PKR bertanding menggunakan lambang sendiri.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menyambut baik sekiranya Rafizi kembali aktif berpolitik.

“Beliau merupakan Naib Presiden parti dan semestinya mampu berperanan untuk bantu perkukuhkan parti,” katanya.

Najwan berkata, ketika ini perkara penting adalah mengukuhkan parti, “khususnya dalam persiapan menghadapi PRU15”.

CATEGORIES

COMMENTS