Perak juga bakal bubar DUN jika BN menang di Johor, kata Taqiuddin

Perak juga bakal bubar DUN jika BN menang di Johor, kata Taqiuddin

Pengundi Johor diingatkan supaya menjadikan Melaka sebagai iktibar kepada sikap rakus elit politik yang lebih berminat menyelamatkan kepentingan kuasa berbanding kebajikan rakyat.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN N29 Mahkota, Taqiuddin Cheman berkata, ketika negara dan rakyat dilanda kesukaran, BN-PN bertindak dengan menambah kesusahan tersebut.

“Anak muda baru bangkit dari perniagaan dan ingin mulakan kehidupan baharu selepas negara menghadapi pelbagai varian COVID-19.

“Tetapi PN-BN hanya tahu, itulah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) (di Melaka) kerana mereka yakin akan menang. Selepas ini mungkin mereka akan buat di negeri-negeri lain seperti Perak pula,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pengundi Johor menjadikan PRN kali ini untuk mengajar BN-PN dengan memastikan blok politik tersebut ditewaskan.

“Rakyat kena ajar mereka supaya insaf. Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun mereka tiada majoriti mudah, kita tetap sokong sebab nak jaga air muka kerajaan.

“Tetapi apa kata (Datuk) Hasni (Mohammad)? Mereka tidak mahu ehsan pembangkang. Jadi kita kena pastikan Johor ini jadi kubur BN-PN,” ujarnya.

Taqiuddin berkata demikian semasa majlis pelancaran Bilik Operasi Utama DUN (BOUD) Mahkota, dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Hasnul Baharuddin; calon PH DUN N28 Mengkibol, Chew Chong Sin; serta pimpinan MUDA Johor.

Taqiuddin merupakan bekas ADUN Pulai Sebatang sebelum AMANAH mempertaruhkan beliau bertanding di DUN Mahkota.

Beliau merupakan salah seorang daripada tiga Pemuda AMANAH yang dicalonkan iaitu ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi (DUN N11 Serom) dan Mohammad Fakrulradzi Mahmud (DUN N32 Endau).

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan selepas pembubaran DUN pada 23 Januari 2022.

AMANAH yang bertanding di bawah logo PH meletakkan 16 calon termasuk daripada sayap wanita dan pemuda.

Tarikh penamaan calon akan diadakan pada 26 Februari, pengundian awal pada 8 Mac dan pengundian pada 12 Mac.

Seramai 2.6 rakyat Johor layak mengundi pada PRN kali ke-15 ini.

Undian ini penting untuk menentukan masa depan Johor bagi tempoh lima tahun lagi.

Para pengundi yang berada di luar Johor diharapkan pulang mengundi untuk memilih calon wakil rakyat di tempat masing-masing.

Sekiranya pengundi berdepan kesukaran untuk pulang mengundi, sila layari johorngundi.com untuk mendapatkan bantuan atau memberi sumbangan.

CATEGORIES

COMMENTS