Jarang-jarang berlaku, salji turun di puncak Gunung Kinabalu

Jarang-jarang berlaku, salji turun di puncak Gunung Kinabalu

Fenomena salji turun kira-kira tiga minit di Sayat-Sayat sehingga ke puncak Gunung Kinabalu iaitu di Kilometer 8.72 pada Isnin menggemparkan pendaki termasuk malim Gunung Kinabalu.

Kehadiran salji itu sempat dirakam oleh pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, ketika sedang menunggu pendaki di Sayat-Sayat pada jam 7.18 pagi.

Menurut Hajiri, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.

“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.

“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Jelasnya lagi, strukturnya memang salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa mereka lihat ketika di puncak Gunung Kinabalu.

“Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat.

“Ada ramai pendaki ketika itu dan saya terpaksa menunggu mereka lebih lama sedikit kerana pendaki yang lain sedang menyaksikan kehadiran ‘salji’ di atas puncak,” katanya.

Katanya lagi, sejak 11 tahun menjadi pelatih Via Ferrata, kejadian itu bukan kali pertama ia berlaku dan dia pernah saksikan fenomena yang sama pada 2018.

“Purata suhu di Panalaban pada jam 2 hingga 10 pagi tadi kira-kira 6.9 hingga 12.3 darjah celsius.

“Kiranya hari ini lebih sejuk daripada biasa tetapi kalau di atas mungkin lebih sejuk lagi dan mereka yang melihat salji hari ini dianggap bertuah,” katanya.

Gunung Kinabalu Pernah Dilitupi Salji

Ramai yang tidak tahu bahawa Gunung Kinabalu pernah diselubungi salji pada tahun 1993 iaitu 24 tahun lalu dan sejarah ini disegarkan kembali untuk mengingatkan orang ramai khasnya penduduk sekitar Ranau.

Renjer Taman-Taman Sabah, Palimin Jasli, 46, pernah dipaparkan di akhbarNew Sabah Times pada 20 Jun 1993 tentang kejadian gunung diselubungi salji dan mengejutkan orang ramai. Palimin menceritakan pengalamannya ketika beliau mendaki gunung bersama 10 kakitangan KOKTAS pada 15 Jun 1993.

CATEGORIES

COMMENTS