Najib jangan ingat popular, orang cuma nak tengok perompak dari dekat – Muhyiddin

Najib jangan ingat popular, orang cuma nak tengok perompak dari dekat – Muhyiddin

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan bahawa sambutan orang ramai sewaktu beliau turun berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bukan kerana Ahli Parlimen Pekan itu popular, atau diterima rakyat kembali.

Sebaliknya, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka hanya ingin melihat bekas Presiden UMNO itu sendiri, selepas Najib dijatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Muhyiddin berkata, sewajarnya Najib berasa malu untuk berhadapan dengan orang ramai, apatah lagi dengan keadaan beliau masih terpaksa turun naik ke mahkamah ekoran beberapa lagi kes yang masih dalam perbicaraan.

“Mereka hanya nak tengok dengan dekat, inikah ‘perompak’. Jangan andaikan ramai datang kerana suka, mereka hanya nak lihat ‘inikah orang yang nak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta, inikah yang berulang alik turun ke mahkamah’.

“Ini satu perkara yang amat memalukan. Jadi kalau ramai keluar, (mungkin) dia (Najib) rasa seronok, tapi sepatutnya dia ada rasa malu,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan rakyat Johor terhadap Najib, terutama sekali masyarakat Cina, yang pada pilihan raya umum lepas menolak UMNO dan Barisan Nasional.

Najib, yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, telah menggandakan usahanya turun di hampir setiap kawasan di Johor, dalam usaha memastikan parti itu kembali mendapat mandat.

Sambutan yang diterima oleh bekas Perdana Menteri itu disifatkan positif, sehingga ada yang menganggap beliau antara faktor yang akan membolehkan BN dan UMNO membentuk kerajaan baharu.

CATEGORIES

COMMENTS