Tuan Ibrahim bagi alasan hujan lebat luar biasa punca banjir teruk di KL

Tuan Ibrahim bagi alasan hujan lebat luar biasa punca banjir teruk di KL

Hujan lebat berterusan menyebabkan berlaku banjir kilat di jalan-jalan utama di pusat bandar ini termasuk Jalan Batu Bata, Kampung Periuk, Kampung Pasir Baru dan Kolej Telekom, di sini, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa Smart, di sini, dengan bacaan 106.5 milimeter (mm) dan 155 mm di Stesen Air Panas dalam tempoh dua jam.

“Dalam tempoh setahun, bacaan hujan adalah 2,500 mm menjadikan purata bacaan 200 mm sebulan, namun dalam tempoh dua jam sahaja bacaan yang direkodkan adalah melebihi 206 mm iaitu lebih setengah purata bulanan.

“Ia menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapastiti aliran air yang tinggi menyebabkan air bertakung di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Smart, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak berada pada aras bahaya dengan bacaan 31.99 meter (m).

“Aras air Sungai Gombak di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak masing-masing merekodkan 30.38 m dan 30.12 m.

“Insiden banjir kilat ini menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Lebuhraya Besraya ditenggelami air sehingga kedalaman 0.6 meter.

“Dianggarkan 103 rumah terjejas di sekitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, di sini, akibat banjir kilat,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah supaya berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga ketika hujan lebat.

“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.

“Sekiranya hujan lebat serta air pasang laut berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS