PRN Johor: Pemimpin Umno kata penyokong dan ahli Umno biadap, kurang ajar kepada PM

PRN Johor: Pemimpin Umno kata penyokong dan ahli Umno biadap, kurang ajar kepada PM

Sewaktu Barisan Nasional (BN) menyambut kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bangunan UMNO Johor tempoh hari, tumpuan media turut terarah kepada insiden laungan ‘bubar Parlimen’ di perkarangan bangunan tersebut.

Laungan tersebut dilakukan oleh sebilangan besar penyokong dan ahli parti itu, sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO berjalan melewati mereka.

Susulan peristiwa tersebut, beberapa pemimpin UMNO menganggap insiden tersebut adalah biadab, dan bersifat ‘kurang ajar’.

“Kemenangan (PRN Johor) ini hadir bersama besarnya tanggungjawab untuk membawa aspirasi rakyat, dan semestinya tidak dapat dinafikan sama sekali ‘mood’ rakyat yang menyebelahi BN ini dicapai dari rasa yakinnya rakyat dibawah kepimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari BN yang sedang memacu Kerajaan ke arah pemulihan berikutan berbagai musibah yang melanda negara.

“Juga tak dilupakan sokongan padu dan jitu dari YB Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) dan seluruh saf kepimpinan UMNO dan BN terhadap beliau, maka amat tidak wajar jika segelintir pihak ini bersikap kurang ajar kepada YAB PM seolah beliau datang dari pihak lawan,” kata Ketua Pemuda UMNO Kubang Kerian, Shahrul Fadhel Mohd Aziz. Katanya lagi, pembubaran Parlimen bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah, bukan boleh dilakukan dengan emosi, banyak aspek perlu diambil kira.

Shahrul Fadhel berkata, jika terlampau mengikut sikap terburu-buru dan terlampau yakin, berkemungkinan besar mood rakyat akan beralih kepada pihak lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilaporkan sebagai berkata, semua pihak dalam parti perlu memberi ruang, mandat dan kepercayaan kepada Perdana Menteri dan pucuk pimpinan berbincang dalam menentukan masa tepat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, menyusun strategi kemenangan tidak boleh berasaskan seluruhnya kepada gempita emosi semata-mata.

Jelas beliau, kebijaksanaan pemimpin perlu dibawa ke meja perbincangan dan bermuafakat untuk menggilap asas kekuatan sebenar.

“Kita di dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ini ada kaedah dan cara tersendiri serta berpegang kepada disiplin parti,” kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu lagi.

Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO Putrajaya, Jumaitul Laily Zakiah berkata, kemenangan BN di Johor sedikit tercalar berikutan insiden segelintir kecil penyokong yang tidak beradab kepada YAB Perdana Menteri.

Hal itu, katanya lagi, jelas bercanggah dengan budaya yang diterapkan oleh UMNO.

“Parti keramat ini dibina atas rasa hormat dan patuh kepada pemimpin. Jangan sesekali cuba untuk mengeruhkan permuafakatan parti dengan budaya tidak beradab.

“UMNO mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan. Justeru itu, gunakan saluran yang betul melalui Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan berlangsung pada 16-19 Mac 2022 untuk menyuarakan pendapat anda,” katanya lagi.

Senada dengan Jumaitul, Ketua Puteri UMNO Jelebu Normassitah Md Diah yang berkata, keputusan berhubung Pilihan Raya ke-15 tertakluk kepada perbincangan pemimpin tertinggi UMNO termasuklah Ismail Sabri sendiri selaku Naib Presiden UMNO. dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Di peringkat akar umbi, janganlah berperangai terlebih sudu dari kuah. Hormati peranan dan keputusan pemimpin tertinggi UMNO berhubung apa-apa jua isu.

“UMNO mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan. Justeru itu, gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan anda,” katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS