Samsuri kata Pas tak akan pujuk Khairuddin kerana keluar parti

Samsuri kata Pas tak akan pujuk Khairuddin kerana keluar parti

PAS menganggap tindakan Khairuddin Aman Razali meninggalkan parti itu mulai kelmarin sebagai hak peribadi ahli parlimen Kuala Nerus berkenaan.

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata oleh itu parti tidak akan berusaha memujuk bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkenaan.

“Itu dia punya pasal, itu hak dia dalam negara demokrasi. Setahu saya kita tidak ada apa-apa usaha (memujuk Khairuddin),” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri PAS akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu ini dan isu Khairuddin mungkin menjadi satu daripada banyak agenda yang akan dibincangkan.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Khairuddin yang keluar daripada menjadi ahli PAS kelmarin dalam tindakan yang dilihat sebagai protesnya terhadap kepemimpinan Abdul Hadi Awang.

Terdahalu Malaysiakini melaporkan Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan ladang dan komoditi mengemukakan permohonan berhenti sebagai ahli PAS kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Dia juga mengisytiharkan dirinya sebagai anggota parlimen bebas.

Ahmad Samsuri berkata PAS bukanlah tidak kisah dengan langkah diambil Khairuddin namun menganggap ia adalah pilihan masing-masing.

“Bukan tak kisah tetapi oleh kerana pilihan masing-masing kita tiada konsep paksaan.

“Kalau dia tak mahu bersama (PAS) dan (atas) apa jua alasan terserah masing-masinglah. Tidak ada apa-apa masalah dengan kedudukan yang ada sekarang.

“Dalam parti semua penting, pemimpin dan ahli di bawah pun penting,” katanya yang juga menteri besar Terengganu.

CATEGORIES

COMMENTS