Pas tempelak Ahli Parlimen pro-kerajaan tak hadir sokong usul Sosma – Takiyuddin

Pas tempelak Ahli Parlimen pro-kerajaan tak hadir sokong usul Sosma – Takiyuddin

Pas berdukacita dengan tindakan ahli Parlimen pro-kerajaan yang tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat bagi menyokong usul untuk melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Rabu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal ini kerana salah satu tanggungjawab ahli Parlimen ialah mengambil bahagian dalam mana-mana proses membuat undang-undang di Dewan Rakyat.

“Oleh sebab itu, ahli Parlimen tidak boleh mempunyai sebarang alasan untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat,” katanya selepas diminta mengulas gesaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul kerajaan untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Sosma itu wajar dipecat.

Sebelum itu, Takiyuddin merasmikan Hari Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini pada Ahad.

Menurutnya, Pas sentiasa menitik beratkan ahli Parlimen dari parti tersebut untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tindakan ke atas ahli Parlimen itu boleh diambil berpandukan kepada parti masing-masing.

Takiyuddin berkata, ketua whip setiap parti mempunyai kuasa untuk berbuat demikian sama ada memberikan amaran atau sebaliknya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa beberapa ahli Parlimen kerajaan bertindak keluar Dewan Rakyat ketika pengundian usul tempoh kuat kuasa Sosma kerana ‘tidak suka’ melihat wajahnya.

Sidang Dewan Rakyat pada Rabu melakar sejarah buat blok pembangkang apabila buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

CATEGORIES

COMMENTS