Asmuni tempelak Saarani jawab isu tanah lapangan terbang Seri Iskandar di luar Sidang DUN

Asmuni tempelak Saarani jawab isu tanah lapangan terbang Seri Iskandar di luar Sidang DUN

Penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak Tengah di luar pengetahuan anggota exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, semasa beliau menjadi exco kerajaan negeri ketika itu, penjualan tanah tersebut tidak pernah dibangkitkan atau dibincang di dalam mesyuarat exco untuk diluluskan.

Menurutnya, tindakan menjual tanah itu langsung tidak diketahui sehingga perkara itu dibangkitkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming pada Selasa lalu.

“Kami (PH) tidak tahu menahu tentang penjualan tanah tersebut sebab tak pernah dibincangkan oleh menteri besar ketika itu dalam mesyuarat exco.

“Walaupun ada collective responsibility, tapi penjualan tanah ini merupakan keputusan individu yang seharusnya dipertanggungjawabkan tetapi yang terpalit nama kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Asmuni berkata, satu siasatan mungkin perlu dijalankan terhadap sumber kuasa bagaimana penjualan tanah itu boleh dilakukan.

“Berapa harganya dan siapa pembelinya, ada atau tidak kemungkinan tanah ini boleh diambil balik walaupun telah dijual,” katanya.

Asmuni berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan tanah itu telah dijual semasa kerajaan PH, sepatutnya menjawab persoalan itu di dalam Sidang DUN.

Katanya, ini  supaya perkara tersebut boleh dibahas dan dibincangkan kerana penjualan itu tidak melalui atau  mendapat kelulusan mesyuarat exco.

“Saya agak dukacita jawapan kepada perkara ini hanya diberi di luar dewan dan tidak memberi peluang untuk membuat satu keputusan yang tuntas.

“Bagaimanapun, masih tidak terlewat untuk kerajaan negeri menyiasat kembali isu tersebut dan mengambil langkah sewajarnya,” katanya.

Pada Sidang DUN Perak Selasa lalu, Kor Ming mendakwa tanah untuk cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak Tengah telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Kor Ming berkata, perbuatan itu dilakukan oleh individu tidak yang tidak bertanggungjawab dan perkara itu merupakan salah laku yang cukup serius.

Semalam, Saarani ketika ditemui pemberita dalam program di Bota, dekat Parit mengesahkan tanah lapangan terbang itu telah dijual ketika zaman pemerintahan PH.

CATEGORIES

COMMENTS