Kuari di Hutan Segari Melintang masih tidak dibenarkan beroperasi semula, kata Saarani

Kuari di Hutan Segari Melintang masih tidak dibenarkan beroperasi semula, kata Saarani

Pengoperasian kuari di negeri ini termasuk Hutan Segari Melintang, Manjung perlu mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (Jas) selepas memenuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkenaan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru itu walaupun ada pihak tertentu seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meminta pengerusi jawatankuasa negeri supaya operasi syarikat berkenaan diteruskan, ia tetap tidak boleh dilakukan.

“Kita punya amalan biasa sesuatu kuari ini boleh diusaha hasil bergantung kepada SOP ditetapkan antara jabatan paling berkuasa adalah Jas, kalau tak setuju tak boleh contoh polisi sekarang tidak ada mana-mana kuari dalam Hutan Simpan Kekal boleh diusahakan… sampai sekarang tak diluluskan, dalam jawatankuasa mineral Jas kata tak boleh.

“Saya yakin Exco pun terikat kepada Jas, sesiapa boleh merayu tapi kita tak sewenang-wenangnya lulus,” katanya pada Majlis Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Oleh Kelompok-Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di sini, hari ini.

Mengenai isu pencemaran di Hutan Simpan Segari Melintang, Saarani berkata, kerja pengkuarian di kawasan berkenaan sudah dihentikan selama setahun.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri mendedahkan seorang Adun mendesak supaya kuari di hutan simpan itu diberikan kebenaran beroperasi semula atas alasan pekerja kuari hilang sumber pendapatan.

CATEGORIES

COMMENTS