Bila Saarani, Umno Perak nak buat laporan polis isu penjualan tanah lapangan terbang, soal bekas Exco

Bila Saarani, Umno Perak nak buat laporan polis isu penjualan tanah lapangan terbang, soal bekas Exco

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan UMNO negeri perlu membuat laporan mengenai penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa Seri Iskandar di Perak Tengah kepada pihak berkuasa.

Exco kerajaan negeri semasa Pakatan Harapan (PH), Howard Lee Chuan How berkata, berikutan kenyataan Saarani bahawa tanah seluas 188.13 hektar itu telah dijual, maka jika UMNO merasakan perkara itu perlu disiasat, parti itu harus membuat laporan polis.

Menurutnya, isu penjualan tanah tersebut perlu diselesaikan secara tuntas, demi keadilan untuk rakyat Perak.

“Perkara itu (lapor isu penjualan tanah lapangan terbang) kena serah kepada UMNO sendiri sama ada mereka mahu buat sebab UMNO bukan PH, mereka yang melontarkan kenyataan (isu berkenaan), bukan UMNO sebenarnya tetapi Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

“Kalau UMNO rasa ada perkara yang perlu disiasat, mereka perlu buatlah (laporan polis dan SPRM). Kami sudah buktikan hasrat ini dengan tindakan membuat laporan di sini (SPRM),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM Perak, di sini hari ini.

Hadir sama membuat laporan SPRM ialah bekas exco kerajaan negeri, Datuk Asmuni Awi, Tan Kar Hing dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang pernah memegang jawatan sebagai bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mengesahkan tiada sebarang agenda mesyuarat membincangkan tentang penjualan tanah tersebut.

“Saya mengesahkan di mana-mana mesyuarat Lembaga Pengarah yang saya hadir, tidak ada satu agenda membincangkan penjualan tanah di Seri Iskandar daripada PKNP kepada orang ketiga. Ia tidak pernah disuarakan dan dibincangkan, itu saya nak sahkan. Malah dalam mesyuarat exco sendiri tiada bincang jual tanah itu.

“Saya nak bersihkan nama keseluruhan exco PH semasa kita memerintah dan Lembaga Pengarah PKNP, bahawa kami tidak tahu menahu berkenaan penjualan itu,” katanya.

Terdahulu Asmuni mewakili tiga exco kerajaan negeri yang lain membuat laporan SPRM supaya satu siasatan lengkap dilakukan terhadap pihak yang terbabit di dalam penyalahgunaan kuasa berhubung isu tersebut.

Kesemua Exco PH yang hadir di pejabat SPRM turut menggesa satu siasatan lengkap dibuat terhadap pihak terbabit yang terlibat di dalam penyalahgunaan kuasa penjualan tanah terbabit.

Sebelum ini Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri tidak akan berselindung dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, sekiranya terdapat laporan berhubung isu tersebut.

Saarani menegaskan terpulang kepada pihak yang terbabit sekiranya mahu membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa.

Semalam, Pemuda PH negeri Perak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak Tengah.

CATEGORIES

COMMENTS