Peja tak perlu bimbang kalau tak buat salah, kata Khairol Najib

Peja tak perlu bimbang kalau tak buat salah, kata Khairol Najib

Kenyataan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak yang mendakwa pendedahan isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar sebagai usaha memburukkan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah sesuatu yang sangat dangkal.

Armada Perak seharusnya sedar bahawa sekiranya tiada apa-apa kesalahan dilakukan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mereka tidak perlu bimbang dan wajar menasihatkan beliau untuk membuat penjelasan perkara sebenar.

Isu tersebut adalah isu yang diambil kesempatan oleh Umno- Barisan Nasional untuk memburukkan nama Pakatan Harapan. Bagi menafikan tuduhan tersebut, pemimpin PH Perak mengambil langkah menjelaskan hal sebenar bahawa Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Perak dan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) semasa PH mentadbir tidak pernah membincangkan untuk menjual tanah tersebut.

Berkenaan sokongan kepada Kerajaan Negeri Perak, Armada Perak perlu jujur dan sedar akan hal sebenar bahawa kerajaan yang tertubuh hari ini adalah hasil sokongan blok kerajaan yang terdiri daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) yang di dalamnya ada Bersatu. Ini faktanya.

Pendedahan berkenaan isu ini dibuat pada ketika ini selepas isu pembinaan lapangan terbang tertangguh begitu lama. Tambahan pula wujud desas-desus mengatakan tanah untuk pembangunan lapangan terbang tersebut telah pun dijual.

Selain itu, tohmahan Menteri Besar Perak YAB Dato’ Saarani Mohamad mengatakan perkara tersebut berlaku semasa PH mentadbir, sesuatu yang mengelirukan dan perlu dijawab oleh pimpinan PH Perak yang mengesahkan bahawa PH tidak terlibat dalam hal terebut.

Apa yang sewajarnya dibuat oleh Pengerusi Bersatu adalah memberi kerjasama dalam siasatan sekiranya beliau terlibat dalam membuat keputusan menjual tanah tersebut dan menjawab apakah benar keputusan tersebut dibuat tanpa melalui mesyuarat MMK dan mesyuarat Lembaga Pengarah PKNP.

Pemuda AMANAH Perak melihat tindakan Armada Perak ini secara sedar atau tidak mengesahkan keterlibatan langsung Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam penjualan tanah tersebut dan cuba mengalihkan hal sebenar dengan menjadikannya sebagai isu politik.

Walhal, isu ini adalah berkenaan ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam mentadbir negeri, bukan soal memburukkan sesiapa.

Justeru, Armada Perak perlu bersikap matang dalam menangani isu ini dan minta Pengerusi mereka membuat penjelasan hal sebenar bagi memberi jawapan kepada rakyat negeri Perak.

KHAIROL NAJIB HASHIM
Ketua Pemuda AMANAH Perak

CATEGORIES

COMMENTS