Jangan mimpi PKR nak menang mudah di Selangor – Rafizi

Jangan mimpi PKR nak menang mudah di Selangor – Rafizi

Selepas empat siri kekalahan dalam pilihan raya negeri sebelum ini, calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli memberi peringatan kepada kepimpinan Pakatan Harapan dan PKR Selangor agar tidak mengambil mudah pilihan raya umum ke-15.

Berucap di hadapan ahli PKR sempena kempen Pemilihan PKR 2022, Rafizi berkata keadaan ketika ini sangat berbeza ketika PH menang mengejut dalam PRU14 pada 2018 lalu.

“Kalah kali pertama tidak mengapa, kali kedua (kita usaha)…ini dah sampai kalah kali keempat apa dia! Kalau kalah pula di Selangor (PRU15) kita bukan saja masuk gua tapi masuk gua tutup gua tak timbul dah.

“Dan kalau adalah pimpinan dalam PH atau PKR, yang masih bermimpi di siang hari yang kita boleh menang mudah di Selangor seperti sebelum ini, saya minta simbah air dekat muka mereka,” katanya sempena Jelajah Yakini Rakyat di sini.

PRN Johor pada 12 Mac lalu menyaksikan Barisan Nasional memenangi 40 daripada 56 kerusi, manakala PH berjaya menawan 11 kerusi, PN (tiga) serta PKR dan Muda masing-masing satu kerusi.

“Kalau Johor keputusannya begini, begitulah keputusannya pada PRU15 nanti,” kata Rafizi.

Beliau berkata, sekiranya kepimpinan PKR tidak bertindak terhadap isyarat dari Johor dan tiga lagi PRN – Sabah, Melaka dan Sarawak – kemungkinan besar parti itu akan kehilangan Selangor pada PRU15.

Rafizi turut memberi amaran kepada pemimpin PH Selangor yang mempunyai jawatan supaya bersedia untuk hilang kedudukan itu dalam tempoh tiga atau empat bulan dari sekarang.

“Kalau kita tak lakukan sesuatu setelah apa yang isyarat dari Johor berikan, saudara-saudara di Selangor, ada yang wakil rakyat, ada yang ahli majlis ada yang dapat elaun, saudara semua kena bersedia untuk hilang jawatan dalam tempoh tiga, empat bulan dari sekarang,” katanya sambil menambah PRU15 kemungkinan diadakan pada Ogos.

Katanya, sekiranya PKR dan PH hilang kerusi di Selangor, gabungan itu akan menempuh jalan berliku pada PRU16.

“Kalau kita kalah di Selangor, untuk kembali (tawan) semula ambil masa lama. Kalau kita hilang Selangor, sukar untuk kita sampai ke Putrajaya.

“…. dan untuk kita menang satu kerusi dalam PRU16, ia bukan perkara mudah yang kita fikirkan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS