Panas! NGO hantar memorandum pada Agong, desak Timbalan Menteri Pas dipecat

Panas! NGO hantar memorandum pada Agong, desak Timbalan Menteri Pas dipecat

Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin.

Memorandum tersebut merupakan sembah hasrat daripada rakyat bagi menzahirkan sokongan padu kepada Raja-Raja Melayu termasuk mempertahankan integriti institusi agama seperti Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Jurucakap NGO tersebut, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, memorandum itu susulan daripada kenyataan yang didakwa mengelirukan, dikeluarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Menurutnya, timbalan menteri itu mengeluarkan kenyataan tersebut di Dewan Negara pada 28 Mac lepas berkaitan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI ke-117 pada tahun 2020 yang dipersetujui semua Mufti.

“Justeru, lebih 100 NGO, mewakili suara rakyat marhaen yang prihatin mendesak agar Timbalan Menteri Agama digantikan.

“Ini kerana beliau telah melakukan tindakan-tindakan yang membelakangkan bidang kuasa Raja-Raja sebagai Ketua-Ketua Agama Islam sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau juga menunjukkan sikap biadab dan tidak matang serta memudaratkan pentadbiran baik dan kedaulatan undang-undang semata-mata kerana mendahulukan pendirian sempit peribadi sehingga mengelirukan orang ramai terhadap keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI yang dianggotai oleh Mufti-Mufti seluruh Malaysia,” katanya.

Engku Ahmad Fadzil berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut di hadapan Istana Negara pada Isnin.

Menurutnya, memorandum sama juga akan diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hari sama.

Sultan Sharafuddin sebelum ini bertitah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah pada 9 April lepas, ini kerana keputusan-keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan dengan itu, Sultan Selangor bertitah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

CATEGORIES

COMMENTS