Pengeluar pakaian dalam wanita sahkan akaun bank dibeku SPRM

Pengeluar pakaian dalam wanita sahkan akaun bank dibeku SPRM

Pengeluar pakaian dalam wanita, Caely Holdings Bhd berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan arahan membekukan semua akaun bank operasi syarikat itu dan anak syarikatnya.

Menurut laporan The Edge Markets, Caely berkata, arahan pembekuan itu tidak disampaikan kepada syarikat terbabit, tetapi ia hanya menerima notis daripada salah sebuah banknya.

Katanya, ia tidak tahu mengenai tempoh arahan pembekuan itu.

“Syarikat telah berkomunikasi dengan bank untuk membenarkan syarikat menggunakan wang dan meminta alasan akaun dibekukan,” katanya dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia.

“Kami meminta akaun dinyahbekukan, tetapi kami belum menerima sebarang respons daripada bank. Penyiasatan SPRM masih dijalankan.”

Caely berkata, ia kini tidak boleh membuat bayaran kepada pembekal, bank dan pihak lain serta gaji kakitangan.

Syarikat itu berkata, ia kini terdedah kepada potensi disaman dan tuntutan atas pelanggaran kontrak kerana tidak dapat membuat bayaran.

Semalam, Caely mengumumkan pihak berkuasa yang tidak dinamakan mengeluarkan arahan pembekuan akaun bank kumpulan syarikatnya. Tetapi katanya, ia tidak tahu mengenai sebarang salah laku.

Pada 7 April lalu, Caely mengumumkan melantik juruaudit forensik untuk menjalankan audit bebas ke atas dakwaan transaksi mencurigakan dan tidak teratur dalam syarikat itu.

CATEGORIES

COMMENTS