AWAN Parit Buntar aktif anjur program sepanjang Ramadan

AWAN Parit Buntar aktif anjur program sepanjang Ramadan

AWAN Kawasan Parit Buntar aktif mengadakan pelbagai program sepanjang Ramadan tahun ini.

Ketuanya, Ustazah Nor Asmah Hashim berkata , edaran bubur lambuk kepada pengunjung Mydin Mall yang turut disertai Ahli Parlimen Parit Buntar adalah aktiviti terakhir AWAN Kawasan Parit Buntar untuk bulan Ramadan tahun ini.

“Selain siri edaran buru lambuk, AWAN Parit Buntar bersama NGO KASIH telah mengadakan program penyampaian sumbangan pakaian sekolah, sumbangan top up gas memasak, program santai makan kerang, Ziarah Ramadan dan Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis Khatam Al-Quran telah disertai lebih 90 peserta tadarus Al-Quran dari surau-surau di bawah kariah Masjid Parit Tok Ngah,” katanya.

Beliau berkata, majlis penyampaian sumbangan kepada peserta tadarus di Majlis Khatam Al-Quran telah disempurnakan Ustazah Zuraida Husin, isteri Ahli Parlimen Parit Buntar.

“Program tadarus pada tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari kaum wanita dalam parlimen Parit Buntar ini.

“Majlis Khatam Al-Quran pada hari ini adalah kemuncak kepada program tadarus yang kita adakan pada bulan Ramadhan yang lalu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Parit Tok Ngah.

Tambahnya, sumbangan kepada peserta tadarus Al-Quran dalam bulan Ramadhan ini turut disampaikan kepada peserta tadarus Al-Quran Surau Taman Kerian Tambahan, Surau Parit 3, Sungai Setar , Surau Parit Tok Hin Darat, Kuala Kurau dan Parit Haji Wahab.

Sementara itu, Ustazah Zuraida Husin mengucapkan tahniah kepada AWAN Kawasan Parit Buntar kerana berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan mendapat sambutan baik dari kaum wanita.

Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadhan.

“Amalan tadarus ini amat baik bagi mempertingkatkan mutu dan ketepatan bacaan masing-masing,” katanya.

Beliau berharap amalan tadarus Al-Quran tidak terhenti hanya di bulan Ramadhan sebaliknya diteruskan dalam bulan – bulan lain.

“Amalan tadarus yang dilakukan dalam bulan Ramadhan hendaklah diteruskan di luar Ramadan walaupun Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita.

“Begitu juga amalan lain seperti berpuasa, sembahyang berjemaah , sembahyang tahajjud dan witir,“ katanya.

CATEGORIES

COMMENTS