Mujahid rai asnaf dalam majlis iftar

Mujahid rai asnaf dalam majlis iftar

Lebih 500 asnaf telah menerima sumbangan Aidilfitri daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar dengan kerjasama AMANAH Kawasan Parit Buntar.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak berkata, majlis penyampaian sumbangan diadakan di empat lokasi iaitu Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Parit Buntar dan Bagan Tiang.

“Penyampaian sumbangan di Kuala Kurau dan Bagan Tiang disekalikan dengan majlis iftar bersama asnaf.

“Majlis iftar peringkat DUN Kuala Kurau dan DUN Titi Serong ini juga melibatkan kehadiran wakil-wakil AMANAH Cawangan seluruh Parit Buntar, “ katanya ketika ditemui di Majlis Iftar Peringkat DUN Titi Serong di Dataran AMANAH, Bagan Tiang.

Majlis Iftar Peringkat DUN Kuala Kurau telah diadakan di Batu 7 Jalan Baharu,  Kuala Kurau.

Menurut Hairul Nizam, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa bersama isteri , Ustazah Zuraida Husin merai dan menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan.

“Majlis dimulai dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa.

“Selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan, bacaan tahlil dan diakhiri dengan berbuka puasa bersama asnaf,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar dalam tazkirahnya menekankan kelebihan sepuluh malam terakhir Ramadan  yang perlu diambil peluang umat Islam memperbanyakkan ibadah.

“Selain menerima sumbangan untuk meringankan beban , yang lebih penting nasihat dari saya kepada kita semua untuk meningkatkan amalan ibadah terutama sepuluh malam terakhir Ramadan ini.

“Berkat doa kita semua, program kebajikan sebegini akan diteruskan oleh Pusat Khidmat dan AMANAH Kawasan Parit Buntar dari semasa ke samasa,“ katanya.

CATEGORIES

COMMENTS