Tular di media sosial larangan laungan azan menggunakan pembesar suara, ini kenyataan terkini polis

Tular di media sosial larangan laungan azan menggunakan pembesar suara, ini kenyataan terkini polis

Polis mengesahkan kenyataan tular di media sosial baru-baru ini berhubung larangan laungan azan menggunakan pembesar suara bukan dikeluarkan di Malaysia sebaliknya berlaku di Pune, India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, arahan itu dibuat oleh presiden Maharashtra Navnirman Sena, iaitu Raj Thackeray dan dilaporkan dalam sebuah portal The New Indian Express, pada 17 April lalu.

Beliau berkata, Raj turut mengarahkan agar membuang semua pembesar suara dari masjid sebelum 3 Mei ini dan mengumandangkan “Hanuman Chalisa” (puisi untuk dewa) di hadapan masjid jika arahan itu gagal dipatuhi.

“Selain itu, polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun TikTok dikenali sebagai ‘Syierabahari_ ‘ yang dilihat mengulas isu berkenaan secara provokasi dan berkemungkinan boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Jalil berkata, siasatan masih diteruskan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Polis turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial, seorang lelaki dikenali sebagai Raj Thackeray dalam laporan sebuah portal mengarahkan agar membuang semua pembesar suara dari masjid sebelum 3 Mei ini dan mengumandangkan “Hanuman Chalisa” (puisi untuk dewa) di hadapan masjid jika arahan itu gagal dipatuhi.

CATEGORIES

COMMENTS