Terkini! AirAsia X umum cara pulangan wang tertunggak penumpang dalam bentuk kredit

Terkini! AirAsia X umum cara pulangan wang tertunggak penumpang dalam bentuk kredit

Selepas berhadapan dengan pelbagai rintangan akibat hutang dan masalah kewangan, AirAsia X hari ini mengumumkan bahawa penumpang yang terjejas sewaktu pandemik COVID-19 sebelum ini, boleh kembali menggunakan kredit mereka yang tertunggak. Ini kerana AirAsia X akan kembali beroperasi ke beberapa laluan terpilih.

Selain itu, penumpang yang tidak menggunakan kredit mereka dalam tempoh terdekat, akan menerima baucar perjalanan untuk penerbangan, serta sedikit bayaran balik dan sebahagian keuntungan AirAsia X.

Kredit sah sehingga 30 Jun, kemudian jadi baucar

Baru-baru ini, AirAsia X telah kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Sydney, Australia; New Delhi, India’ dan Seoul, Korea Selatan. Penumpang yang memiliki kredit tertunggak, boleh menggunakan kredit mereka untuk penerbangan ini serta-merta.

Jika kredit tersebut tidak digunakan sebelum 30 Jun 2022, ia akan ditukarkan secara automatik kepada baucar perjalanan. Baucar ini akan dikreditkan kepada pengguna dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Bagusnya, baucar ini sah digunakan dalam tempoh 5 tahun.

Bagaimanapun, terma penggunaan baucar ini masih belum diketahui. Berkemungkinan, penggunaan baucar lebih ketat berbanding kredit. Antaranya baucar tidak boleh digunakan sebahagian. Contohnya, jika baucar diberi dalam 1 unit RM1,000, maka pembelian tiket kurang dari RM1,000 tidak akan terima sebarang pulangan. Berbeza dengan kredit yang boleh digunakan mengikut berapa nilai yang diperlukan.

Penumpang turut terima sebahagian keuntungan AirAsia X

Selain menerima kredit atau baucar perjalanan, penumpang yang terjejas sebelum ini juga akan menerima bayaran balik secara sekali beri sebanyak 0.5% daripada nilai keseluruhan kredit perjalanan mereka yang tidak digunakan pada ulang tahun pertama Penstrukturan Semula Hutang AAX pada bulan Mac 2023.

Di samping itu, seperti dalam Penyata Penerangan yang telah diterima oleh semua Pemiutang (termasuk para tetamu) pada tahun lepas, tawaran kredit perjalanan kepada para tetamu yang terjejas oleh Penstrukturan Semula Hutang tersebut adalah mengikut budi bicara pengurusan AAX dan tertakluk pada terma dan syarat.

Dalam keterangan AirAsia X pada Oktober tahun lepas, mereka bercadangan untuk memberikan imbuhan sebanyak 20% daripada perolehan mereka sepanjang tahun kewangan 2023 hingga 2026 kepada pemiutang tetapi dengan syarat. Pertama jika AirAsia X beroleh keuntungan lebih daripada RM300 juta. Kedua, imbuhan ini diberikan selepas perolehan ditolak faedah, cukai, susut nilai, manfaat lain, bayaran bajakan dan kos penstrukturan semula.

Jika AirAsia X ada berhutang dengan anda, adakah anda akan mengunakan kredit sebelum 30 Jun atau tunggu sahaja baucar yang sah selama 5 tahun diberikan kemudian?

CATEGORIES

COMMENTS