MPV terbabas rempuh pemotong rumput tepi jalan, seorang maut dan seorang lagi parah

MPV terbabas rempuh pemotong rumput tepi jalan, seorang maut dan seorang lagi parah

Seorang pemotong rumput maut manakala seorang lagi rakannya parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Jalan Pintasan Semeling, dekat Bedong di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Superintendan Mohd Mahiri Hussain berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu dikatakan terdapat tiga orang pekerja sedang melakukan kerja memotong rumput.

Beliau berkata, tiba-tiba sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu dengan laju dikatakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar dua batang pokok di sebelah kiri jalan sebelum merempuh tiga mangsa yang sedang bekerja.

Akibat rempuhan itu mangsa pertama maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala mangsa kedua mengalami kecederaan parah di badan dan patah bahu sementara mangsa ketiga tidak mengalami kecederaan.

Jelas Mohd Mahiri, ketiga-tiga mangsa warganegara Myanmar itu difahamkan telah lama bekerja di negara ini.

Bagaimanapun indentiti mangsa masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

CATEGORIES

COMMENTS