Pemandu bas ekspres dicekup polis gara-gara cabul penumpang wanita sedang tidur

Pemandu bas ekspres dicekup polis gara-gara cabul penumpang wanita sedang tidur

Seorang lelaki yang juga pemandu kedua sebuah bas ekspres dicekup polis selepas didakwa mencabul seorang penumpang wanita di Ajil, Hulu Terengganu awal pagi tadi.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sejurus bas yang dalam perjalanan dari Kelantan berkenaan tiba di Terminal Melaka Sentral, di sini kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan penumpang berusia 21 tahun itu yang mendakwa dicabul ketika sedang tidur di dalam bas tersebut.

“Bas ekspres itu dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Melaka yang mana mangsa yang juga penuntut maktab perguruan di negeri ini mendakwa diraba oleh suspek semasa bas itu berhenti rehat di Ajil kira-kira jam 4 pagi.

“Apabila pihak polis menerima maklumat awal, kita terus menahan pemandu yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu sebaik sahaja bas ekspres berkenaan tiba di Melaka Sentral,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut katanya, penuntut wanita itu juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah jam 12 tengah hari tadi dan suspek ditahan dilokap sementara kes akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Kejadian berkenaan turut dikongsikan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi video berdurasi 3 minit 41 saat di Facebook rasminya.

Beliau memaklumkan menerima pesanan mesej di Facebooknya bagi meminta bantuan berhubung kejadian berkenaan oleh seorang individu dipercayai rakan mangsa.

“Pagi tadi ketika hendak bangun Subuh saya terima pesanan mesej daripada sahabat di Facebook berhubung kejadian yang menimpa rakannya yang ingin pulang semula ke Melaka.

“Adik (mangsa) ini terlalu baik yang mana dia hendak menjerit pun takut dan dia hanya mampu menangis teresak-esak sahaja. Kemudian saya bersama beberapa rakan tunggu di Melaka ini untuk bantu selamatkan gadis ini,” katanya.

Tambah Muhamad Akmal, beliau mengambil serius isu gangguan seksual seumpama ini dan menasihati golongan wanita untuk tidak berdiam diri apabila berdepan situasi seumpama itu.

Katanya, beliau mengharapkan mana-mana pelaku jenayah seksual dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman yang setimpal.

CATEGORIES

COMMENTS