PRU-15: Pas nak bersama dengan Umno dalam MN di Perak, kata Razman

PRU-15: Pas nak bersama dengan Umno dalam MN di Perak, kata Razman

Pas Perak membayangkan Muafakat Nasional (MN) masih diperlukan di negeri ini bagi membolehkan kerajaan dapat dibentuk dengan stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, risiko berlakunya ketidakstabilan politik akan kembali seperti mana PRU14 apabila tidak ada gabungan yang boleh membentuk kerajaan.

Menurutnya, rakyat tidak lagi boleh menerima tindakan wakil rakyat melompat parti untuk membentuk kerajaan kerana memberi kesan kepada negeri.

“Kalau kita melupakan MN, itulah risiko yang ada sebab di Perak ini bermula pada tahun 2008 yang membentuk kerajaan pun dengan majoriti sangat tipis dan kerajaan boleh jatuh.

“Suasana sebenar berlaku pada PRU14 baru-baru ini yang memperlihatkan kerajaan tidak boleh dibentuk sekaligus memerlukan wakil rakyat lompat. Jadi kalau PRU15 masih meneruskan dalam keadaan yang sama, rakyat akan ditipu, rakyat akan menyampah dengan orang politik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol di Taman Serai Permai, di sini pada Khamis.

Razman berkata, berdasarkan keadaan semasa, tiada mana-mana parti yang mampu memperoleh majoriti membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan parti lain.

Katanya, Barisan Nasional (BN) Perak sendiri tidak mampu memenangi 18 kerusi yang dikuasai oleh DAP ketika mereka memerintah bagi mendapatkan majoriti.

Beliau berkata, begitu juga UMNO yang benar-benar kuat di 20 kerusi manakala 20 kerusi lagi mempunyai peluang sama rata untuk dimenangi parti-parti lain.

“Kita tetap dengan keputusan seperti di peringkat pusat yang mahu memperkasa MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN). Kita akan meneruskan dasar tiga parti itu.

“Kita tidak mahu lagi mewujudkan kerajaan tergantung macam sebelum ini kerana kemungkinan selepas PRU15, wakil rakyat akan jadi lebih mahal bagi yang tiada berprinsip ini,” katanya.

Menerusi laporan Sinar Harian Pada 10 Mei lalu, Selangor, Pulau Pinang dan Perak merupakan tiga negeri yang disenaraikan memerlukan kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi MN pada PRU15.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis menjelaskan, Pakatan Harapan (PH) mempunyai pengaruh yang kuat di Selangor dan Pulau Pinang manakala di Perak pula sentiasa berubah-ubah.

CATEGORIES

COMMENTS