Ini model kereta pilihan ramai cikgu di Malaysia, Perodua Myvi kekal teratas

Ini model kereta pilihan ramai cikgu di Malaysia, Perodua Myvi kekal teratas

Bersempena dengan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, kami ingin mengupas sedikit berkenaan dengan kereta-kereta pilihan para guru ataupun cikgu di Malaysia.

Ini merupakan tinjauan tak rasmi dan bukannya kajian yang serius. Tapi ia bukan ditulis lewa kerana inputnya adalah daripada golongan pendidik itu sendiri. Maklumat dari sumber dalaman ni okey. Bukan kami pandai-pandai tulis dari pandangan pihak ketiga.

Mari kita tengok kereta-kereta yang popular di kalangan guru Malaysia.

Perodua Myvi

Sejak mula diperkenalkan, Perodua Myvi terus laris macam goreng pisang panas. Harga yang berpatutan, asak dan mudah diselenggara merupakan faktor utama. Faktor kelajuan dan kehebatan mencilok merupakan tabiat pemandu sendiri dan tidak ada kena mengena dengan kereta yang dilabelkan sebagai ‘King’ ini.

Sebagai sebuah model popular ia juga turut mendapat tempat dikalangan guru negara kita yang tercinta.

Selamat Hari Guru, ini model kereta pilihan ramai cikgu Malaysia

Toyota Vios

Toyota Vios diperkenalkan Toyota dengan ramuan yang mencukupi untuk menjadikannya model pilihan mereka yang mempunyai kemampuan yang lebih. Harganya lebih tinggi sedikit berbanding Myvi tetapi masih berada dalam kemampuan golongan berpendapatan sederhana di Malaysia.

Walaupun pada peringkat awalnya ia kelihatan seperti model untuk kakak-kakak dan makcik-makcik tapi penampilan itu mampu diubah dengan pemakaian sport rim dan pelekat-pelekat perlumbaan GR dan TRD.

Sambil ambil anak kat sekolah tu cuba tengok ada berapa buah Vios kepunyaan guru di sekolah tu.

Honda City

Sebagai pesaing terdekat kepada Vios, Honda City turut menempa populariti dikalangan guru. Golongan yang lebih muda biasanya akan lebih tertarik dengan logo H ni. Harganya berada dalam lingkungan harga Vios dan ianya mudah untuk diselenggara dan jimat minyak. Percayalah, topik jimat minyak ni memang top di Malaysia dan golongan cikgu tidak terkecuali. Nak jimat sangat pakailah basikal. Sembang nak beli Vellfire, Alphard tapi akhir sekali mesti tanya, “Minyak kuat tak?”.

Toyota Avanza

Berdasarkan sumber dalaman kami, MPV seperti Avanza ni memang popular di kalangan guru yang mempunyai ahli keluarga yang agak ramai. Eh, korang jangan ingat asal laki bini cikgu je anak mesti ramai. Korang ingat deme tak ada kerja lain ke? Tapi jangan pelik kalau ada yang anak tak ramai tapi masih ada yang minat Avanza.

Pernah seorang cikgu beritahu kami yang dia sukakan Avanza sebab ia lebih tinggi berbanding kereta sedan dan memberikan feel seolah-olah memandu 4×4. Betul jugak tu.

Toyota Innova

Okey Innova lebih besar dari Avanza dari segi ukuran dan memang ia cukup popular di kalangan guru. Ia mempunyai kelebihan untuk membawa ahli keluarga yang ramai dan sering kali terpilih setiap kali sekolah ingin menghantar pelajar ke mana-mana pertandingan ataupun program di luar sekolah. Kira berbakti untuk anak bangsa jugaklah mana-mana cikgu yang pakai Toyota Innova ni. Jangan lupa claim duit minyak ya cikgu-cikgu, sebab ini kenderaan peribadi dan berhati-hati dalam perjalanan.

Perodua Alza

Alza merupakan antara MPV midi yang terlaris di Malaysia. Ia lasak, jimat dan mudah diselenggara menjadikannya pilihan popular rakyat Malaysia termasuklah Abang Japar dan sudah membelinya sebanyak 3 kali. Fanatik betul. Ia turut digemari ramai guru kerana apa ya? Kerana jimat minyaklah. Maintenance pun agak jimat asalnya korang tak mengada-ngada masuk tayar 18 inci. Korang yang ada Alza tu kalau masuk kelab pun jangan la tampal pelekat penuh cermin belakang tu. Nanti ambulan datang dari belakang pun tak sedar.

Toyota Wish

Bagi guru yang lebih berkemampuan, Toyota Wish turut menjadi pilihan. Dah namanya Toyota mesti la maintenance jimat. Rupa paras boleh tahan dan ia adalah keluaran Toyota yang memang diperakui dunia sebagai sebuah kereta yang kalis rosak. Ada la kes-kes tertentu tapi rata-rata kereta keluaran Toyota ni memang tahan lama. Harga pun boleh tahan kalau nak jual balik.

Honda CR-V

Ini merupakan model pilihan untuk guru dengan gred gaji lebih tinggi. Ini lebih selesa lebih besar dah lebih bergaya berbanding kereta-kereta guru lain di sekolah. CR-V juga men=jadi pilihan bagi mereka yang ingin mengubah selera setelah menggunakan model sedan sejak sekian lama. Kedudukan pemandu yang tinggi memberikan pandangan yang lebih jauh di atas jalan raya sekaligus membuatkan anda rasa lebih selamat.

Honda Jazz

Satu lagi model Honda yang laris di kalangan warga pendidik khususnya kaum wanita. Mungkin faktor kompak yang ada pada model ini membuatkan pemiliknya merasa lebih cute dan comel. Mungkin la kan? Kalau kat luar ramainya je jejaka di luar sana yang menggunakan Honda Jazz ni tapi kalau dalam pagar sekolah rata-rata pemilik mesti guru wanita.

Itulah sembilan model pilihan guru yang kami senarai pendek. Mungkin ia tidak seratus peratus tepat tapi paling kurang pun mesti 90 peratus markah mesti dalam tangan. Sahih dapat A ni.

CATEGORIES

COMMENTS