Panas! Bekas Adun Bersatu sertai AMANAH

Panas! Bekas Adun Bersatu sertai AMANAH

Bekas Adun Bersatu Melaka, Noor Effandi Ahmad, memilih Amanah sebagai wadah baru politiknya.

Menurut Noor Effandi, dia menyerahkan borang keahlian Amanah kepada naib presiden parti itu, Adly Zahari, kelmarin.

Penyertaan bekas exco Melaka itu kemudian disahkan Adly.

“Selamat datang kepada Datuk Noor Effandi Ahmad dan Sdr Afiq Nordin serta rakan-rakan dalam keluarga Parti Amanah Negara.

“Semoga kita cekal terus berusaha untuk masa hadapan yang lebih baik buat negara,” katanya melalui hantara di media sosial.

Dalam PRU ke-15 lalu Noor Effandi mewakili Bersatu – dan Pakatan Harapan (PH) – bagi merebut kerusi Telok Mas. Dalam pertandingan tiga penjuru itu dia mengalahkan calon BN, Abdul Razak Abdul Rahman; dan Rosazli Md Yasin (PAS) dengan kelebihan 1,288 undi.

Semasa berada dalam kerajaan Noor Effandi pernah dilantik sebagai exco pendidikan, pengajian tinggi, teknikal dan vokasional sains, dan inovasi.

Dia kemudian menyertai gerakan Bersatu meninggalkan PH sekali gus menjatuhkan gabungan tersebut daripada kerajaan, sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Bagaimanapun pada Sept 2021 Noor Effandi menyertai tiga Adun lain menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-Perikatan Nasional yang kemudian membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Noor Effandi tidak dinamakan sebagai calon dalam PRN tersebut.

Menuru Adly apa saja yang baik wajar dijadikan teladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.

“Selamat berjuang dalam Parti Amanah Negara. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Yang Maha Esa,” katanya.

Sementara itu Noor Effandi berkata pengalamannya sebelum ini akan dimanfaatkan untuk membantu parti terbabit.

“Inilah wadah baru perjalanan politik saya. Sedikit sebanyak, pengalaman lalu – baik suka mahupun duka – akan dibawa bersama buat merencana suatu harapan yang lebih baik dan semoga membawa manfaat kepada Malaysia tercinta.

“Kekuatan diri akan diperkasa, kelemahan diri menjadi pedoman berharga,“ katanya.

CATEGORIES

COMMENTS