AMANAH Parit Buntar desak Majlis Presiden PH putuskan segera kerjasama dengan parti politik luar PH

AMANAH Parit Buntar desak Majlis Presiden PH putuskan segera kerjasama dengan parti politik luar PH

Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar kali ke 6 telah meluluskan usul mendesak Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan segera kerjasama dengan parti-parti politik di luar Pakatan Harapan sekiranya benar-benar mahu mengadakan kerjasama dengan parti-parti politik di luar Pakatan Harapan.

Setiausaha AMANAH Kawasan Parit Buntar, Ahmad Firdaus Muhammad mewakili Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Kawasan Parit Buntar membawa usul berkenaan dalam Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar yang diadakan di Hotel Frazel Inn, Pusat Bandar Parit Buntar.

Ahmad Firdaus berkata, Pakatan Harapan perlu meletakkan agenda membela rakyat sebagai agenda utama perjuangan Pakatan Harapan bagi menyakinkan kembali rakyat untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan dalam PRU 15.

“Rakyat termasuk pengundi Pakatan Harapan sudah muak dengan perbincangan kerjasama politik yang tidak berkesudahan.

“Pakatan Harapan dilihat rakyat, sama dengan parti-parti lain yang lebih mementingkan persaingan kuasa berbanding menyelesaikan masalah rakyat” katanya semasa membentangkan usul berkenaan.

Beliau berkata , pilihanraya negeri yang berlaku di Sarawak , Melaka dan Johor menunjukkan peratusan keluar mengundi yang rendah menyebabkan Pakatan Harapan mengalami kekalahan.

“Barisan Nasional  memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun undi yang diterima tidak bertambah.

“Ini membuktikan bahawa majoriti pengundi yang tidak keluar mengundi adalah penyokong Pakatan Harapan” katanya.

Tambah Ahmad Firdaus, penyokong Pakatan Harapan termasuk pendokong parti keliru dengan arah tuju  Pakatan Harapan dalam menentukan kerjasama politik bagi menghadapi PRU 15.

“Justeru itu, keputusan segera Majlis Presiden Pakatan Harapan berkaitan kerjasama dengan parti-parti politik di luar Pakatan Harapan perlu dibuat memandangkan Pilihanraya Umum ke 15 sudah semakin hampir.

“Persepsi rakyat terhadap Pakatan Harapan perlu diperbetulkan semula bagi menyakinkan kembali rakyat untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan dalam PRU 15,” katanya.

Sementara itu, Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar yang diadakan telah dihadiri perwakilan dan pemerhati yang mewakili 45 cawangan AMANAH yang berdaftar serta lima cawangan penaja di Parit Buntar

Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar kali ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa , Naib Presiden AMANAH, yang  juga Ahli Parlimen Parit Buntar .

Turut hadir Ustaz Nazri Din , Pengerusi Biro Hal Ehwal Syariah AMANAH Perak dan pimpinan PH Parit Buntar.

CATEGORIES

COMMENTS