Kerajaan negeri Perak didesak campur tangan selesaikan masalah rumah tak siap

Kerajaan negeri Perak didesak campur tangan selesaikan masalah rumah tak siap

Impian sebahagian besar 63 pembeli pangsapuri D Aman Residensi Meru Raya di sini untuk menduduki rumah yang mereka beli pada tahun 2017 tertangguh apabila dua blok pangsapuri itu tidak siap sepenuhnya.

Wakil jawatankuasa pembeli pangsapuri itu, Mohd. Zulfadli Abd. Khir, 34, berkata, walaupun dua blok pangsapuri itu telah siap antara 90 dan 70 peratus, namun harapan untuk memiliki kunci rumah masih kabur.

Katanya, masalah rumah tidak siap itu telah diajukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Exco Perumahan Perak namun setakat ini tiada penyelesaian.

“Sebagai pembeli, kami mahu menuntut hak kami kerana ketika ini kebanyakan daripada kami terpaksa menyewa rumah lain dan dalam masa sama kami perlu membayar pinjaman bank rumah yang kami beli.

“Kami juga berdepan dengan komitmen lain seperti bayaran pinjaman kenderaan dan lain-lain, sudah tentu ini membebankan bagi kami sebagai pembeli.

“Kami sudah tidak tahu lagi untuk mengadukan hal ini ke mana dan kepada siapa. Kami berharap sangat projek rumah ini dapat disiapkan segera pada tahun ini.

“Penantian kami sangat lama dari tahun 2017 hingga 2022 namun projek itu masih tidak siap,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Difahamkan projek itu dilaksanakan secara usahasama sebuah anak syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri dengan syarikat swasta lain yang berpusat sini.

Justeru, pembeli memohon agar kerajaan negeri campur tangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Asmuni berkata, pada April lalu, pihaknya telah mengemukakan surat kepada pihak pemaju untuk berbincang mengenai masalah itu.

Beliau berkata,  namun surat jawapan balas yang diterimanya hanya memberitahu mengenai masalah yang dihadapi oleh syarikat pemaju yang menyebabkan projek rumah itu tidak dapat disiapkan.

“Antara masalah yang dihadapi pemaju adalah urusan pembayaran kepada kontraktor terjejas kerana anak syarikat GLC negeri yang terlibat kini telah berada dalam proses penggulungan sukarela.

“Saya tidak menafikan GLC negeri itu sekarang di bawah proses penggulungan dan sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada kelicinan perjalanan projek ini.

“Tetapi sekiranya dapat diadakan perbincangan, sudah pasti kita boleh membantu bagaimana cara untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya, memetik laporan Utusan.

Asmuni berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan maklum balas sekali lagi kepada pihak terbabit supaya pertemuan dengan semua pembeli dapat diadakan dengan segera.

CATEGORIES

COMMENTS