Pemuda Pas nasihat Presiden Umno jangan jadi pengkhianat

Pemuda Pas nasihat Presiden Umno jangan jadi pengkhianat

Pemuda PAS berpendapat wajar untuk Ahmad Zahid Hamidi mencontohi sikap parti itu yang memberi keyakinan kepada Ismail Sabri Yaakob untuk terus mengemudi negara.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nazir Helmi, berkata langkah tersebut sangat perlu kerana ketika ini keadaan politik tidak stabil.

“Sebagai presiden Umno, Pemuda PAS menasihatkan Datuk Seri (Ahmad Zahid) agar mencontohi PAS yang memberi keyakinan kepada Ismail Sabri dan barisan kabinet mengemudi negara dalam keaadan penuh ketidakstabilan ini.

“Jangan khianati sahabat Datuk Seri sendiri yang juga Naib Presiden Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazir turut mencadangkan supaya Presiden Umno itu memberi fokus kepada kes mahkamah dihadapinya, selain membuat pertimbangan agar untuk berehat seketika.

Katanya jika Ahmad Zahid mahu membuat sebarang kenyataan adalah wajar ia dilakukan dalam keadaan “sedar”.

“Adalah lebih baik Datuk Seri memberi fokus yang lebih dalam menguruskan kes mahkamah yang sedang dihadapi.

“Pemuda PAS melihat cadangan untuk berehat seketika yang pernah dibuat dahulu wajar dipertimbangkan semula oleh Ahmad Zahid,” tambahnya.

Masa terbaik kukuh perpaduan

Pada 11 Jun lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang menentang gesaan agar PRU ke-15 diadakan lebih awal kerana takut partinya akan hilang banyak kerusi.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Abdul Hadi sebelum itu bahawa pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU adalah kumpulan yang kemaruk kepada kuasa.

“Mungkin kalau pilihan raya (diadakan) cepat, dia khuatir partinya akan hilang kurang daripada 18 kerusi parlimen sedia ada,” kata Ahmad Zahid seperti dipetik Berita Harian.

Dalam kenyataannya, Abdul Hadi berkata pada masa ini ada isu lain yang lebih memerlukan perhatian termasuk ancaman Covid-19 yang belum bebas sepenuhnya di negara ini.

Menurut Nazir dakwaan bahawa PAS enggan mempersetujui PRU awal kerana takut kehilangan kerusi adalah kenyataan kosong dan tidak berasas.

Katanya, Pemuda PAS berpandangan semua pucuk pimpinan parti di Malaysia wajar memberi fokus dalam mengukuhkan kerjasama antara semua pihak serta menjulang prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju mendepani keadaan ekonomi domestik dan global yang masih kurang stabil.

“Maka, Pemuda PAS melihat ini lah masa yang terbaik untuk mengukuhkan semula penyatuan ummah.

“Pemuda PAS menyeru seluruh parti politik Malaysia khususnya parti Melayu Islam agar menumpukan perhatian terhadap isu rakyat seterusnya menggerakkan usaha yang ampuh untuk membantu rakyat,” katanya, memetik Malaysiakini.

CATEGORIES

COMMENTS