Selepas Menteri Agama ditegur isu Bon Odori, kini pesuruhjaya Pas pula dititah menghadap Sultan Selangor

Selepas Menteri Agama ditegur isu Bon Odori, kini pesuruhjaya Pas pula dititah menghadap Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Istana Selangor dalam media sosial menyatakan pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan sebab bekas exco itu dititah menghadap.

Sebelum ini, Ahmad Yunus meminta kerajaan Selangor mengambil tindakan tegas ke atas kakitangan yang menghadiri pesta Bon Odori.

Menurut laporan Berita Harian, kenyataan itu dibuat sehari selepas Sultan Sharafuddin menitahkan pesta itu wajar diteruskan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menyekat festival itu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dilapor berkata JAIS dititah supaya tidak menghalang mana-mana individu menghadiri program itu.

Kontroversi timbul berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, iaitu kajian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan.

Dewan Ulama PAS pula menggesa umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana ada unsur agama Buddha.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya, berkata ada pandangan menyatakan pesta itu berkaitan kebudayaan Jepun, namun itu tidak mengetepikan pandangan ada unsur ritual agama Buddha.

CATEGORIES

COMMENTS