SPM: Kembar seiras dapat keputusan cemerlang 9A+

SPM: Kembar seiras dapat keputusan cemerlang 9A+

Bagaikan sudah berjanji untuk mendapat keputusan sama, itulah yang berlaku kepada pasangan kembar seiras, Anis Sofiah Zolkharnain dan adiknya, Anis Solehah Zolkharnain, 18, tatkala kedua-duanya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2021.

Malah, kejayaan kembar yang bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Syed Putra, Kangar itu membolehkan mereka dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM Peringkat Negeri Perlis 2021.

Anis Sofiah berkata, kejayaan bersama kembarnya itu adalah berkat doa ibu bapa, Basniza Abu Bakar, 53, dan Zolkarnain Abidin, 54, guru serta kerja keras mengulangkaji pelajaran.

“Kami akui terkesan dengan situasi yang melanda ketika itu. Bagaimanapun, kami berusaha bersungguh-sungguh sepanjang mengikuti sesi pembelajaran menerusi kelas dalam talian.

“Kami jarang mengikuti tuisyen atau kelas tambahan, kami lebih senang mengikuti kelas yang dilaksanakan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC).

“Apa yang lebih penting adalah fokus dalam kelas selain melakukan latih tubi atau ulangkaji setiap mata pelajaran,” katanya ditemui Harian Metro di SM Sains Syed Putra hari ini.

Menurut Anis Solehah pula, dia dan kakaknya berada dalam aliran Sains Tulen dan setiap kali kelas PdPR, mereka akan sama-sama memastikan tidak ketinggalan untuk mengikuti kelas berkenaan.

“Walaupun ada kalanya kelas yang dijalankan itu berasingan, kami tidak ponteng. Sebenarnya tiada rahsia kejayaan kerana kami tidak belajar sehingga lewat malam, sebaliknya kami lebih fokus terhadap apa yang diajar oleh guru.

“Memang sudah menjadi tabiat kami untuk mentelaah pelajaran bersama-sama malah kami juga bercita-cita ingin menjadi doktor. Kami juga sudah mengisi borang untuk mengikuti pengajian dalam jurusan Sains Hayat di Universiti Malaya,” katanya.

Menurutnya, mereka belajar bersama-sama sejak di sekolah rendah malah turut belajar di kelas sama.

Katanya, mereka memperoleh 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A pada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Naharudeen Othman berkata, pencapaian calon SPM 2021 di negeri itu mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.99 berbanding 5.15 pada 2020 dan 5.18 pada 2019.

“Ini menunjukkan peningkatan 0.16 dan selain itu, 39 atau 1.29 peratus calon SPM 2021 berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding tahun sebelumnya iaitu 34 orang atau 1.05 peratus sahaja.

“Manakala tujuh sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar, SM Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, SMK Agama (A) Perempuan, Kangar, SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, SMK Dato Sheikh Ahmad, Arau, SMKA Arau dan Sekolah Agama Al Islahiyah (Menengah), Kangar berjaya mengekalkan pencapaian 10 peratus serta layak mendapat sijil SPM 2021,” katanya.

Seramai 3,597 calon menduduki SPM 2021 di Perlis yang dilaksanakan dalam dua sesi iaitu sesi pertama pada 2 Mac hingga 29 Mac dan sesi kedua pada 11 April hingga 18 Mei lalu.

CATEGORIES

COMMENTS