Tiada jaminan Adun Umno sediada akan dikekalkan, bakal diganti dengan calon lain – Saarani

Tiada jaminan Adun Umno sediada akan dikekalkan, bakal diganti dengan calon lain – Saarani

Barisan Nasional (BN) Perak dijangka mengenengahkan muka baharu, khususnya golongan muda sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pemilihan golongan muda sebagai calon parti berikutan melihat kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lalu yang mengenengahkan golongan itu.

Katanya, tidak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikekalkan kerana ada yang berkemungkinan perlu diganti dengan calon lain.

“Perkara itu bergantung kepada keadaan (mengekalkan ADUN ketika ini) sebab kita tiada jaminan sama ada yang sedang menjadi ADUN akan terus kekal kerana kemungkinan ada yang terpaksa digantikan.

“Kita perlu mengambil contoh seperti yang berlaku di Melaka dan Johor iaitu perlu menonjolkan muka baharu, khususnya orang muda,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Jentera BN PRU-15 Bahagian Parit di Dewan Serbaguna Seri Iskandar, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, BN negeri juga sudah mula mendapatkan senarai cadangan nama calon daripada setiap bahagian yang akan mewakili parti itu pada PRU-15.

“Dalam tempoh sama, kita perlu membuat kajian dan juga saringan daripada pihak berkaitan supaya calon yang kita pilih nanti adalah mereka yang boleh memenangkan BN,” katanya, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Mohd Nizar yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit berkata, mereka sudah bersedia dan melakukan persiapan dengan komitmen ahli serta jentera parti bersama komponen UMNO, MCA dan MIC untuk menghadapi PRU-15.

“BN Parit juga giat mendekati anak muda, khususnya mereka berusia 18 tahun ke atas yang juga pengundi baharu kali ini.

“Mereka sudah layak mengundi dan kita sentiasa mengingati serta bersama dengan mereka. Saya harap khususnya kepada anak muda supaya dapat memahami senario dan landskap politik.

“Ini bukan perkara biasa, tetapi adalah hak bagi menentukan kuasa kerajaan yang memerintah mempunyai satu dimensi dan hala tuju jelas untuk membangunkan negeri dan negara,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS