Dr Mahathir dedah ada usaha nak gulingkan PM

Dr Mahathir dedah ada usaha nak gulingkan PM

Pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam termasuk gesaan menandatangani akuan bersumpah (SD) menunjukkan banyak perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Tanpa memperincikan mana-mana parti politik, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pertukaran perdana menteri menjadi isu yang dimainkan pihak terbabit bagi menarik sentimen rakyat.

“Nampak banyak perkara berlaku yang disembunyi daripada rakyat. Ada pakatan usaha untuk adakan seorang Perdana Menteri baharu, jadi mereka main isu tukar pendana menteri.

“Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Jabatan Peguam Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan dibuat Tajuddin semalam yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

Tajuddin yang digugurkan jawatan itu Selasa lalu menerusi satu surat mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Ahli Parlimen Pasir Salak turut mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri.

Tajuddin turut mendakwa Ahmad Zahid juga tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan itu.

CATEGORIES

COMMENTS