Perjanjian jawatan TPM: Hadi, sila rujuk setiausaha agung Pas, kata Muhyiddin

Perjanjian jawatan TPM: Hadi, sila rujuk setiausaha agung Pas, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa sebenarnya memang wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kouta anggota Kabinet.

Menurutnya, selaku Pengerusi PN, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.

Malah, katanya, draf perjanjian itu digubal oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Perdana Menteri tandatangan, yang disaksikan oleh Tan Sri Annuar Musa dan saya sebagai PN menandatangani, disaksikan oleh Datuk Seri Hamzah dan ramai lagi yang hadir dan itu telah pun disimpan oleh pimpinan-pimpinan parti. Jadi mungkin Tok Guru (Presiden Pas) boleh periksa balik dengan Datuk Takiyuddin yang sebenar adalah penulis draf perjanjian kita hari tu. Maka itu yang kenyataan sebenarnya,” katanya, seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau ditemui ketika menghadiri Kenduri Rakyat Aidiladha PN Perak di Manjoi, Ipoh pada Isnin.

Menurutnya, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, bilangan jawatan dalam Kabinet turut terkandung di dalam perjanjian tersebut.

Beliau memberi contoh berdasarkan perjanjian itu, Pas mempunyai kuota tiga, Bersatu hampir 10 dan UMNO pula ada sebilangan.

Oleh sebab itu, jelas beliau, apabila Datuk Zuraida Kamarudin keluar daripada Bersatu, adalah wajar jawatannya diisi oleh Ahli Parlimen Bersatu.

Pada Jumaat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, antara PN dengan Perdana Menteri.

Menurutnya, perkara itu ada dibincangkan tetapi tiada keputusan mengenainya.

CATEGORIES

COMMENTS