Jawi bebaskan wanita hina agama Islam tanpa didakwa di mahkamah syariah

Jawi bebaskan wanita hina agama Islam tanpa didakwa di mahkamah syariah

WANITA yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi Crackhouse Comedy Club, Siti Nuramira Abdullah yang sepatutnya didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada pagi Rabu dibebaskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada malam Selasa.

Peguam mewakili tertuduh, Ramesh N. P. Chandran ketika dihubungi mStar berkata, pihaknya mendapat panggilan telefon daripada Jawi memaklumkan Siti Nuramira dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh Jawi dalam tempoh serta merta.

“Hari ini memang tiada apa-apa pertuduhan di mahkamah dan Siti Nuramira dibebaskan tanpa jaminan dan hanya menunggu arahan seterusnya daripada pihak mahkamah,” katanya kepada mStar.

Sementara itu, BH Online melaporkan, media yang berkumpul sejak pukul 8 pagi di perkarangan mahkamah untuk membuat liputan bagaimanapun difahamkan kes itu tidak akan diteruskan.

Ini disebabkan ia membabitkan tuduhan bersifat sama dan hukuman dihadapi wanita terbabit jika disabitkan kesalahan melalui pertuduhan di mahkamah sivil adalah lebih berat daripada hukuman diperuntukkan melalui tuduhan mahkamah syariah.

Pada Selasa, Siti Nuramira ditahan penguat kuasa Jawi selepas selesai membayar wang ikat jamin atas pertuduhan menghina Islam yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Siber Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kegusaran dan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama, di antara orang-orang yang menganut agama yang sama ketika mengadakan persembahan komedi berdiri (stand up comedy) di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.

Dalam video yang tular di media sosial memperlihatkan Siti Nuramira memperkenalkan diri sebagai seorang wanita Melayu Islam serta mengakui menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum bertindak menanggalkan tudung dan baju kurung yang dipakainya.

CATEGORIES

COMMENTS