Tuan Ibrahim dedah hikmah Najib di penjara zaman Ismail Sabri sebagai PM

Tuan Ibrahim dedah hikmah Najib di penjara zaman Ismail Sabri sebagai PM

Kemarahan dan kecaman UMNO bersama ahlinya pasti memuncak sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi perdana menteri, ketika keputusan dibuat ke atas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International semalam.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kini baru beliau faham hikmah berlakunya peralihan kuasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Saya nak bayangkan walaupun ramai setuju atau tidak puas hati, itu biasalah setiap keputusan mahkamah, tetapi bayangkan kalau sekiranya yang jadi perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekarang.

“Baru saya nampak hikmah kenapa berlaku peralihan kuasa itu. Saya fikir kalau Tan Sri Muhyiddin jadi perdana menteri masa waktu ini kita boleh bayangkan bagaimana rasa tak puas hati UMNO pada perdana menteri.

“Bila Ismail Sabri jadi perdana menteri walaupun daripada UMNO, kerajaan tak campur tangan dalam urusan mahkamah. Jelas bahawa kerajaan tak campur tangan macam kes LCS pun kerajaan serahkan kepada SPRM,” katanya, memetik Astro Awani.

Tuan Ibrahim ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembinaan Maahad Tahfiz di Pasir Tumbuh hari ini.

Semalam Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas didapati bersalah kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Tuan Ibrahim berkata keputusan itu juga memberi keyakinan kepada rakyat dan juga dunia bahawa institusi mahkamah di Malaysia adalah bebas dan positif.

Katanya lagi keputusan itu juga dapat memberikan peringatan kepada yang lain supaya semua pihak dapat membina sebuah negara yang bebas rasuah dan sudah cukup Malaysia dicemuh oleh pihak luar kerana mengamalkan rasuah.

CATEGORIES

COMMENTS