Petisyen pengampunan Najib: Saarani akhirnya jawab Mujahid

Petisyen pengampunan Najib: Saarani akhirnya jawab Mujahid

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mungkin tersalah tafsir laporan mengenai tindakan UMNO Perak mahu mengumpul petisyen Pengampunan Diraja untuk Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau menjawab soalan wartawan yang bertanya mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat akan kecewa jika Najib dibebaskan selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

“Saya jawab, bukankah Dr Mahathir adalah orangnya yang membawa petisyen pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu jawapan saya, lapor Astro Awani.

“Kalau dia boleh dan Agong mengampunkan Anwar, kenapa orang lain tidak boleh, itu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Negeri Perak Ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022 di Bukit Merah Laketown Resort di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Saarani berkata, ada berbagai-bagai tafsiran boleh dibuat mengenai isu ini.

“Rakyat Malaysia, ini demokrasi, ada sekumpulan rakyat yang buat kutipan petisyen untuk mendesak Agong jangan ampun, bukankah itu juga boleh ditafsirkan sebagai mendesak Agong, jadi ada sekumpulan manusia lain pula akan mendesak supaya Agong membuat pengampunan.

“Ini demokrasi dan semua orang boleh bersuara, jadi YB Mujahid mungkin salah tafsir ataupun dia ambil berita daripada berita yang tidak pastilah. Dia salah tasfir sebab dia tak ambil daripada cerita asal,” ujarnya.

Terdahulu Mujahid dalam kenyataannya berkata, tindakan Saarani mengumpul petisyen Pengampunan Diraja untuk Najib membuktikan Menteri Besar itu gagal menunjukkan teladan yang baik dalam memimpin kerajaan negeri.

Menurutnya, tindakan itu membuktikan Saarani gagal memahami fakta kes yang jelas dikaitkan dengan salah guna kuasa oleh bekas Perdana Menteri itu.

Katanya lagi, sikap Pengerusi UMNO Perak itu mengheret rakyat menyokong perasuah yang terbukti ‘mencuri’ duit rakyat wajar diprotes oleh rakyat.

CATEGORIES

COMMENTS