Umno menang besar PRU15: Razman sekolahkan Umno Perak

Umno menang besar PRU15: Razman sekolahkan Umno Perak

Pas Perak meminta Barisan Nasional (BN) negeri menjaga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dengan majoriti tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum bercita-cita merampas kerusi yang disandang parti lain.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, BN perlu sedar parti itu juga mempunyai dua kerusi DUN Perak yang dimenangi dengan majoriti kurang daripada 100 undi.

Menurutnya, malah terdapat juga DUN yang dimenangi BN pada PRU14 dengan majoriti kurang daripada 500 undi.

“DUN Changkat Jong UMNO menang dengan majoriti undi 67 sahaja, DUN Selinsing menang majoriti 97.

“Jadi kalau BN cerita hendak rampas kerusi parti lain, dia jagalah juga keselamatan kerusi-kerusi yang dia menang bawah majoriti 500 undi ini,” katanya, lapor Utusan.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pembinaan jeti nelayan MyKP Persatuan Nelayan Air Tawar  Sungai Galah di Kampung Gajah di sini hari ini.

Razman mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hasan di sini semalam yang menetapkan sasaran BN Perak untuk memenangi 36 kerusi DUN pada PRU15 bagi membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan negeri dengan selesa.

Kata Mohamad, BN boleh menambah sembilan lagi kerusi DUN pada PRU15 dan mengekalkan 27 kerusi yang dimenangi pada PRU14 dan menyasarkan sembilan lagi kerusi termasuk lima yang parti itu kalah dengan majoriti tipis iaitu di bawah 1,000 undi.

Pada PRU14, BN kalah tipis di lima kerusi DUN iaitu Chenderiang (39 undi), Selama (289 undi), Kubu Gajah (180 undi), Titi Serong (140 undi) dan Behrang (409 undi).

CATEGORIES

COMMENTS