Gagal penuhi syarat, kerjasama Pas-Umno putus

Gagal penuhi syarat, kerjasama Pas-Umno putus

PAS gagal memenuhi syarat yang digariskan Umno untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, menurut Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

Justeru, bekas menteri besar Johor itu menjangkakan kedua-dua parti akan bertembung di 27 kerusi parlimen yang bertindih.

Kerjasama Umno dan PAS, kata Khaled secara automatik akan terputus apabila PAS gagal memenuhi tiga syarat yang ditetapkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita tak ubah syarat kita iaitu tiga perkara yang presiden sebut. Bila PAS tak terima (syarat) tu, dengan sendirinya (tawaran kerjasama) gugur, itu saja.

“Kalau tak ada (kerjasama) memang maknanya akan ada pertandingan (pertembungan kerusi Umno-Pas),” kata Khaled seperti dipetik Sinar Harian selepas Mesyuarat MKT Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.

Pada 2 Okt, Ahmad Zahid memaklumkan tiga syarat yang dikemukakan kepada Presiden PAS Abdul hadi Awang jika parti itu mahu menjalin semula hubungan dengan Umno.

Syarat itu menuntut PAS keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) seratus peratus daripada PN dan Bersatu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hubungan Umno dan PAS tidak mempunyai sebarang masalah pada peringkat awal sehinggalah Umno meminta PAS meninggalkan Bersatu.

“Memang pada awalnya Umno menerima PAS, Bersatu pun tiada masalah dengan PAS, tapi mereka (Umno) minta kita putuskan hubungan Bersatu.

“Saya beritahu, Bersatu tinggalkan PH untuk bersama kita menubuhkan kerajaan, takkan kita nak tinggalkan kawan kita apabila kita senang, kita berkawan waktu susah dan waktu senang,” katanya ketika berucap pada ketika berucap dalam majlis pelancaran jentera PN Pahang di Kerdau, dekat Temerloh, malam tadi.

Dilaporkan terdapat, 20 hingga 27 kerusi PH yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh Umno atau PAS jika kedua-dua parti tidak bertembung antara satu sama lain.

Pada PRU14, campuran undi Umno dan PAS melebihi PH di kerusi berkenaan.

CATEGORIES

COMMENTS