Kecewa asyik kalah saja, akhirnya Klopp angkat bendera putih

Kecewa asyik kalah saja, akhirnya Klopp angkat bendera putih

Penat dengan kekalahan, Jurgen Klopp akhirnya mengangkat bendera putih dan mengaku yang Liverpool kini sudah tiada peluang untuk mencabar gelaran Premier League musim ini.

Liverpool terpaksa akur mencatatkan kekalahan 3-2 bertemu Arsenal di Emirates malam semalam, dan menyebabkan mereka jatuh ke kedudukan ke-10 dalam carta saingan liga.

Dari lapan perlawanan pada awal musim ini, Liverpool sekadar mampu mencatatkan dua kemenangan, empat seri dan dua kekalahan.

Ia bukanlah satu keputusan yang baik untuk anak-anak buah Jurgen Klopp itu, dan mereka pada ketika ini dianggap sebagai antara pasukan yang paling tidak berprestasi.

Tidak dinafikan yang skuad Liverpool pada ketika ini telah mempamerkan aksi persembahan yang agak hambar dan kerana itulah mereka gagal untuk bersaing di kelompok empat teratas.

Selepas hanya mampu mengumpul 10 mata sahaja dari lapan perlawanan, Jurgen Klopp kini tampil mengakui yang skuadnya sudah tidak ada harapan untuk bersaing memenangi gelaran liga.

Bercakap selepas tamat aksi kekalahan bertemu Arsenal, Jurgen Klopp mendedahkan bahawa:

“Kami tidak lagi dalam perlumbaan kejuaraan.”

Klopp turut mengakui yang skuadnya sedang dalam masalah pada ketika ini, namun beliau tetap gembira melihat anak-anak buahnya tidak mudah beri tiga mata kepada Arsenal.

 “Jadi, kami pasukan yang bermasalah pada masa ini, tetapi kami juga masih mampu menyebabkan pasukan dalam prestasi terbaik [Arsenal], pendahulu liga, memberikan mereka masalah besar hari ini.”

“Walaupun dalam situasi yang sangat buruk untuk kami, tetapi kami masih memberikan mereka masalah sebenar. Itu kebenarannya juga. Kita kena teruskan.”

“Sudah tentu, dalam situasi seperti kami, kami menentang Arsenal, kami akan bermain menentang Rangers dan kemudian kami menentang Man City. Adakah itu lawan yang sempurna untuk mencari keyakinan kembali? Mungkin tidak. Tetapi kami akan turun ke sana dan melawan. Itulah yang kami perlu buat dan itulah yang kita lakukan.”

“Kami berada dalam saat yang sukar dan kami mahu mengharungi ini bersama-sama dan itulah yang sedang kami usahakan.”

Walaupun Jurgen Klopp sudah mengangkat bendera putih, namun skuad Liverpool perlu konsisten mempamerkan aksi persembahan terbaik mereka selepas ini, dalam usaha untuk mencabar kelompok empat teratas pada penghujung musim nanti.

CATEGORIES

COMMENTS