Datuk Bandar Ipoh rayu penduduk bersabar untuk lima bulan lagi

Datuk Bandar Ipoh rayu penduduk bersabar untuk lima bulan lagi

Sehingga kerja pembangunan projek Papan 1 siap dijangka Mac 2023, penduduk bandar raya ini terpaksa bersabar dengan implikasi daripada kerja naik taraf sistem pembetungan berpusat yang rancak dilaksana.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya maklum dengan kesulitan dialami penduduk terutama kesesakan lalu lintas dan berusaha membantu dengan melaksana penyuraian trafik.

Bagaimanapun, penyelesaian itu bersifat sementara dan penduduk perlu bertahan hingga projek siap.

Katanya, projek di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) itu dijangka siap lebih awal berbanding tempoh lanjutan tempoh (EOT) yang diterima, difahamkan sehingga Oktober 2023.

“Kita memang ada kaedah penyuraian trafik, semua itu, tetapi susah untuk cakap (hasilnya).

“Selain projek tidak berkaitan, trafik sesak mungkin juga berpunca daripada pertambahan kenderaan di jalan raya selain sikap pengguna sendiri yang meletakkan kenderaan di tepi jalan khususnya dekat kawasan hospital.

“Umum tahu banyak kenderaan diletakkan di kawasan jalan raya…luar pekarangan hospital kerana kekurangan parkir,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mengulas lanjut mengenai projek, Rumaizi berkata, terdapat baki kira-kira 1.2 kilometer (km) bagi kerja penggerudian di sekitar bandar raya Ipoh dengan penggunaan daya kerja di tahap tertinggi yang mampu melaksana kerja pengorekan dan penggerudian bawah tanah sejauh 250 meter untuk tempoh sebulan.

“Jika jarak berbaki 1.2km, maka kita hanya perlu lima bulan dari sekarang untuk projek itu siap, yang bermakna saya jangka ia siap pada Mac 2023, enam bulan lebih awal daripada EOT yang diberikan pihak kementerian kepada syarikat kontraktor terbabit,” katanya.

Kata Rumaizi lagi, baru-baru ini, pihaknya juga sudah mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada syarikat kontraktor bertanggungjawab bagi kerja penurapan semula jalan yang rosak disebabkan projek terbabit termasuk kejadian mendapan tanah (sinkhole) seperti yang didakwa.

Katanya, kaedah penurapan semula yang digunakan sebelum ini tidak menjurus kepada kaedah tampalan sebenar terhadap lubang sinkhole, yang mana kaedah sebelum ini hanya sesuai digunakan pada jalan berlubang kecil atau pothole.

“Apabila kerja mengorek dilakukan, kadangkala sinkhole akan terbentuk khususnya apabila molekul hidrogen yang terdapat pada air bertindak balas dengan batu kapur bawah tanah atau natrium klorida.

“Jadi bila ada sinkhole, kita tampal dengan hanya turapan biasa iaitu di permukaan atas sahaja seperti sebelum ini yang menyebabkan akan sentiasa berlaku keretakan pada jalan, seterusnya menjadikan permukaan jalan tidak cantik,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS